Hasrat Shafie Apdal perjuang hak autonomi Sabah disokong

Hasrat Shafie Apdal perjuang hak autonomi Sabah disokong

Hasrat bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi memperjuangkan hak autonomi dan pembaharuan institusi di Sabah disambut baik.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong berkata perjuangan politik Shafie adalah selaras dengan matlamat DAP untuk memelihara kepentingan negeri itu agar tidak lagi dianaktirikan oleh kerajaan BN seperti yang terjadi sebelum ini.

“DAP selama ini sentiasa berusaha keras untuk memastikan Sabah dan Sarawak dilayan sama rata dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan, malah antara parti yang paling tegas menuntut hak autonomi untuk kedua-dua negeri itu.

“Jadi kami (DAP Sabah) benar-benar mahu bekerjasama dengan Shafie dan semua pihak yang setuju dengan objektif untuk membawa perubahan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Sandakan itu, beliau sebelum ini telah membentangkan usul dan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setaraf dengan Semenanjung.

Malah katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Chan Foong Hin juga pernah membentangkan rang undang-undang persendirian bagi mengembalikan perkongsian sama rata Sabah di negara ini.

“Walaupun ahli-ahli Parlimen dan Dun DAP lantang menyuarakan hak Sabah dan Sarawak, ia tidak mendapat sokongan dari wakil-wakil BN. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa BN tidak ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan dua negeri itu,” lapor Roketkini.

Sehubungan itu, Stephen menggesa semua parti politik yang senada dengan perjuangan tersebut untuk bekerjasama bagi menjatuhkan kerajaan BN berikutan ia adalah satu-satunya cara bagi membawa perubahan menyeluruh di Sabah dan Sarawak.

“Sebagai wakil rakyat dari Sabah, kita harus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai matlamat utama agar mereka tidak lagi dilayan secara tidak adil oleh kerajaan BN,” ujarnya.

Shafie yang juga bekas Naib Presiden Umno sebelum ini mengumumkan keluar dari parti itu setelah keahliannya digantung kerana lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipalit pelbagai skandal kewangan.

Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun berkata beliau mahu terus berjuang untuk memelihara kepentingan rakyat Sabah di peringkat nasional.

TAGS