Hassan Ali ajak bangkit jika RUU 355 tidak diluluskan

Hassan Ali ajak bangkit jika RUU 355 tidak diluluskan

Diberi ruang untuk menyampaikan pidato pada malam tadi sempena Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengajak orang ramai bangkit menuntut supaya pindaan tersebut dilaksanakan.

“Kalau Parlimen tidak meluluskan RUU 355 ini, dalam masa terdekat dengan seluruhnya bangun, kemenangan akan menyebelahi kita,” tegasnya disambut laungan takbir oleh peserta himpunan bertemakan ungu itu.

Beliau menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memikirkan langkah bagi membendung pelbagai masalah yang berlaku pada masa ini melalui usaha meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.

“Masalah yang sudah dihadapi, bukan jauh sekitar diri, keluarga dan masyarakat kita menghadapi pelbagai masalah. Sistem undang-undang yang ada tidak mampu sama sekali mengatasi masalah tersebut.

“Hanya boleh diatasi dengan hukum Allah. Inilah yang difikirkan Hadi sehingga melahirkan usul persendirian untuk menambah baik Akta 355,” ujar Hasan yang pernah menuduh Azmin Ali, kini Menteri Besar Selangor berkongsi isteri tular sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau yang dipecat sebagai ahli Pas pada 2012 berkata, tugas dalam memastikan pindaan Akta 355 tercapai terpikul pada semua pihak termasuk orang bukan Islam.

“Matlamat akhirnya kalau dibenarkan, diizinkan akan meningkatkan martabat undang-undang dan kehakiman Islam yang akhirnya memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia bahkan dunia, barulah tuan-tuan merasakan Islam itu Rahmatan Lil ‘Alamin,” tegasnya.

Sehubungan itu, Hassan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing memberi pemahaman berhubung RUU 355.

“Apa yang dilakukan ini? Yang jauh mendoakan, yang dekat menyinsing tangan. Apa nak buat? Ketuk rumah demi rumah. Seru sahabat demi sahabat. Layangkan pemikiran dan kemahuan kita ini kepada seluruhnya,” gesanya.

Menyifatkan malam tadi sebagai segala hidupan mendoakan peserta himpunan usul Hadi, beliau berharap perjuangan meminda Akta 355 adalah berterusan.

“Malam ini di Malaysia dan dunia ada satu titik di mana malaikat-malaikat Allah bersama-sama berhimpun bersama kita. Segala cacing berbilion-bilion berada di bawah, daun-daun segala seluruh kejadian Allah mendoakan kita akan diberikan kekuatan istiqamah memperjuangkan hubungan undang-undang Allah yang menjadi nadi kepada mana-mana negara yang menegakkan agama Allah,” tegasnya.

COMMENTS

Wordpress (0)