Hati-hati bermain api perkauman, negara boleh terbakar

Hati-hati bermain api perkauman, negara boleh terbakar

Isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 telah mengejutkan semua rakyat Malaysia. Tambah mengejutkan apabila seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim telah dicederakan semasa beliau bertugas. Mengikut laporan dan kenyataan Menteri, isu ini adalah isu yang telah berlarutan sekian lama antara pemaju dan pihak kuil. Pemaju, One City Development Sdn Bhd adalah pemilik berdaftar tanah yang mana kuil itu dibina dan pihak kuil pula mendakwa mereka telah berada di situ lebih daripada 100 tahun. Isu ini telah pun dibawa ke Mahkamah dan satu penghakiman persetujuan telah pun direkodkan. Sepatutnya isu ini telah selesai apabila perintah Mahkamah dikeluarkan dan pihak yang terlibat akur dengan perintah tersebut.

Namun, isu ini menjadi panas apabila kuil tersebut telah diceroboh oleh beberapa orang samseng yang mendapat upah. Akhbar melaporkan bahawa yang mengupah mereka itu adalah zulkapeguam/pegawai undang-undang syarikat pemaju itu sendiri. Pemaju sendiri menafikan bahawa mereka mengupah samseng tersebut. Hal ini masih dalam siasatan polis dan kerajaan telah membentuk satu task force pasukan polis khusus untuk menangani isu ini. Setakat ini dikatakan seramai 86 orang suspek telah ditahan untuk proses siasatan.

Malaysia adalah sebuah negara yang unik berbanding dengan negara lain kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk. Terdapat tiga kaum utama yang membentuk Malaysia khasnya di Semenanjung iaitu Melayu, Cina dan India. Walaupun, kaum Melayu adalah kaum asal di Semenanjung Tanah Melayu, akhirnya sebagai syarat kemerdekaan oleh British, Tunku Abdul Rahman sebagai wakil UMNO pada masa itu telah menerima syarat untuk menerima Cina dan India sebagai warganegara. Tiada siapa yang membuat bantahan pada masa itu berkaitan syarat ini termasuklah PAS. Akhirnya, parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO-MCA-MIC telah dibentuk dan telah membentuk kerajaan.

Keharmonian antara kaum itu telah berterusan semenjak Merdeka sehinggalah timbul peristiwa 13 Mei 1969. Api perkauman telah ditiup apabila banyak kerusi Parlimen telah dimenangi oleh pembangkang yang berbangsa Cina. Akhirnya, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan dan antara hasilnya adalah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menaikkan taraf ekonomi bumiputera.

Keadaan aman itu telah berlangsung dan negara ini telah membangun sehinggalah Malaysia dianggap sebagai Harimau Asia. Polemik politik Melayu-Cina-India ini kemudiannya wujud kembali selepas PRU-12 pada tahun 2008 apabila DAP menguasai banyak kerusi Parlimen kerana masyarakat Cina semakin hilang kepercayaan kepada MCA. PRU-12 itu digelar oleh sesetengah penganalisis politik sebagai Tsunami Cina. Api perkauman semakin mula ditiup mulai saat itu sehinggalah kepada PRU-13 pada tahun 2013. Slogan ketuanan Melayu mula dimomokkan kepada masyarakat. Pada masa itu, penguasaan BN semakin terhakis pula kerana masyarakat India semakin hilang kepercayaan kepada MIC dan memberikan sokongan kepada pembangkang. Gerakan masyarakat India ini banyak dipelopori oleh Hindraff.

Sokongan kepada pembangkang pada masa itu yang digabungkan di bawah nama Pakatan Rakyat telah menjadi semakin kuat. Tiga parti yang bergabung iaitu PKR, PAS dan DAP telah membentuk gelombang kebangkitan rakyat yang semakin tidak berpuashati dengan BN berikutan pelbagai isu rasuah dan kenaikan kos sara hidup.

Usaha sesetengah pihak untuk meniupkan api perkauman pada masa itu telah gagal. Pemimpin Pakatan Rakyat pada masa itu bijak membaca rentak politik semasa dan menyedari bahawa jika api perkauman ditiupkan Pakatan Rakyat akan menghadapi kegagalan. PAS juga telah memainkan peranannya pada masa itu untuk membunuh isu perkauman. Menteri Besar Kelantan pada masa itu yang juga Mursyidul Am, Dato’ Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menekankan perpaduan kaum dan menyatakan bahawa Islam menolak isu perkauman. Katanya, manusia tidak boleh memiliih untuk dilahirkan dalam bangsa mana tetapi boleh memilih untuk menjadi insan yang bertakwa. Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang juga memainkan peranannya sehingga beliau menyebutkan bahawa ‘minum kopi dengan DAP lebih baik daripada minum arak BN. Gambarnya berpelukan dengan Lim Kit Siang menjadi simbol bahawa Islam tidak menolak DAP. Begitu juga, gambar Nik Aziz menghadiahkan kek kepada Karpal Singh yang terkenal dengan ungkapan ‘langkah mayat saya dahulu jikan ingin hudud dibuat’ telah menjadi simbol perpaduan.

Dalam PRU-14, gagasan Pakatan Harapan yang diterajui oleh PPBM-PKR-DAP-AMANAH telah berjaya mengalahkan BN dan Gagasan Sejahtera yang diterajui oleh PAS. Kaum Cina dan India terus memberikan sokongan kepada PH. Sebahagian besar kaum Melayu juga telah memberikan sokongannya kepada PH namun sebahagian lagi masih memberikan sokongan kepada UMNO-PAS.

Kini, isu perkauman dan agama Melayu-Islam telah dimainkan sebagai isu politik. Parti politik pembangkang UMNO dan PAS dan NGO ISMA sedang galak memainkan isu Melayu – Islam dan kononnya Islam makin terhakis di Malaysia. Propaganda melalui serangan saraf di media sosial pula semakin kuat. Ruang kebebasan bersuara yang diberikan kerajaan PH pada masa ini telah disalahgunakan untuk tujuan politik sempit dan mengapi-apikan perkauman.

Isu ICERD juga telah memberikan momentum baharu kepada UMNO-PAS apabila mereka berjaya mempropagandakan bahawa ICERD akan menghakis kedudukan istimewa Melayu, agama Islam dan institusi Raja. Suatu himpunan besar-besaran telah dirancang pada 8 Disember 2018 bagi menzahirkan penentangan terhadap ICERD ini. Malah, ianya telah diwar-warkan sebagai satu himpunan terbesar Melayu-Islam yang akan memberikan tekanan kepada kerajaan PH.

Tambah memburukkan lagi keadaan apabila video lama P. Whyrtamoorty, Menteri Perpaduan telah ditularkan kembali bahawa kononnnya beliau berlaku khianat apabila memburukkan kerajaan Malaysia di luar negara.

Justeru, apabila berlaku peristiwa rusuhan di Kuil ini ramai yang termakan dengan isu perkauman khasnya ramai samseng Melayu yang diupah untuk merobohkan kuil itu telah tercedera akibat pertembungan dengan penganut Hindu. Ada pihak yang merancang untuk membuat serangan balas kepada penganut Hindu ini. Mujurlah, kerajaan PH cepat bertindak dan berjaya membendung kejadian ini daripada semakin merebak.

Orang Melayu-Cina-India harus sedar bahawa isu perkauman adalah isu yang akan memusnahkan Malaysia. Orang Melayu tidak seharusnya menjadikan isu kekalahan UMNO-PAS dalam PRU-14 i sebagai ancaman kepada Melayu-Islam. Melayu-Islam tidak tergugat dengan kemenangan PH. Sehingga kini, PH memerintah dengan menggunakan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada. Perlembagaan telah memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan institusi Raja-Raja Melayu.

Isu perkauman ini adalah isu yang sangat bahaya dan boleh memusnahkan Malaysia. Sewajarnya kita mengambil pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969. Menurut, Sanusi Osman dalam artikelnya bertajuk “Perkauman Dan Perpaduan”, Akademika, Bil. 14/1979, 53-68, menyatakan bahawa peristiwa 13 Mei itu menyedarkan bahawa perhubungan etnik tidaklah seharmonis yang digambarkan dan ada tanda-tanda bahawa ianya semakin buruk dan membimbangkan. Beliau juga menyatakan bahawa perkauman etnik ini selalu diperalatkan atau dieskploitasi oleh golongan-golongan tertentu dalam masyarakat untuk kepentingan peribadi sendiri.

Justeru, semua pihak tidak mahu peristiwa 13 Mei ini berulang kembali. Bayangkan jika Melayu bergaduh dengan Cina atau India, apakah yang akan berlaku? Pastinya keadaan akan menjadi porak poranda dan huru hara. Pada masa itu, jika berlaku kekacauan langkah pertama yang akan dibuat kerajan adalah melaksanakan perintah berkurung. Pada masa itu pastinya ekonomi negara akan tergugat dan rakyat akan bertambah susah khasnya untuk mencari rezeki.

Rakyat Malaysia haruslah mempelajari sejarah perang Bosnia-Herzegovina. Negara Bosnia-Herzegovina adalah bekas wilayah Uthmaniyyah dan adalah negara yang berbilang etnik. Berdasarkan bancian pada 1991, 44% adalah Muslim Bosnia, 32.5% adalah Serb dan 17% adalah Croat manakala 6% mengatakan mereka adalah etnik Yugoslavia. Apabila berlaku perpecahan Republik Yugoslavia, unsur-unsur perpecahan kaum etnik telah melarat dan mencetuskan peperangan.

Pada 13 Oktober 1991, pemimpin Serb Bosnia Radovan Karadzic menyatakan pandangan beliau berkenaan masa depan Bosnia dan Muslim Bosnia: “Dalam masa beberapa hari, Sarajevo akan musnah dan lima ratus ribu orang mati, dalam masa satu bulan Muslim akan dihapuskan di Bosnia dan Herzegovina”.

Sepanjang perang Bosnia itu berlaku, tentera Serb telah menyerang penduduk awam Muslim Bosnia. Rumah dan apartment telah dijarah dan dibakar, orang awam dikepung dan ditawan. Ada yang dipukul dan dibunuh. Lelaki dan wanita diasingkan dan ditempatkan di pusat tahanan yang mempunyai tahap kebersihan yang teruk. Tentera atau polis Serbia ini akan datang untuk memilih wanita ini untuk dirogol secara beramai ramai atau secara individu.

Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya memelihara keharmonian antara semua kaum ini kerana Malaysia hanya akan maju jika berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Perlembagaan. Perlembagaan telah menetapkan bahawa semua warganegara Malaysia tanpa mengira Melayu, Cina atau India berhak untuk menikmati hak yang sama rata. Pengecualian hanya diberikan kepada sedikit kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153. Pengecualian ini telah difahami oleh semua warganegara.

Mana-mana orang yang mengapi-apikan isu perkauman ini haruslah diambil tindakan segera. Jika kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan moratorium ke atas Akta Hasutan 1948, langkah lain boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia atau Kanun Keseksaan.

Kerajaan boleh menggunakan peruntukan Seksyen 124B – 124N Kanun Keseksaan untuk mencegah perbuatan yang bertentangan dengan demokrasi berparlimen di Malaysia. Jika disabitkan hukuman di bawah seksyen tersebut maka pesalah itu boleh dihukum penjara antara 5 hingga 20 tahun.

Tindakan sesetengah pihak yang cuba menjarakkan hubungan harmoni Melayu-Cina-India haruslah dipantau supaya ianya tidak melebihi batasan. Tindakan mengapi-apikan sentimen rakyat bahawa kerajaan PH ini membela Cina dan India serta mengabaikan Melayu haruslah dibendung. Kerajaan PH perlu menggerakkan sumber manusia yang ada di kementerian memberikan penjelasan kepada rakyat supaya rakyat tidak terpedaya dengan slogan Melayu-Islam.

Malaysia ini bukan sahaja terbina atas slogan Melayu-Islam tetapi atas hubungan antara ketiga-tiga kaum yang telah berjaya dirapatkan. Sekiranya api perkauman terus dibawa oleh UMNO-PAS maka ianya hendaklah dibendung segera supaya ianya tidak merebak dan memusnahkan keharmonian yang ada. Pada masa yang sama, kaum Cina dan India hendaklah menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang sedia ada. Jika hak dan keistimewaan ini diganggu pasti ianya akan membawa reaksi negatif kepada masyarakat khasnya orang Melayu.