Hati-hati nak gelar orang ‘penyondol’, Ustaz Kazim perjelas kahwini suami orang dibenarkan syarak

Oleh KIM SYAZIE

Pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias al-Hafiz menegur tindakan segelintir pihak yang melabelkan wanita yang berkahwin dengan suami orang, sebagai penyondol.

Katanya, gelaran itu tidak tepat malah memberi gambaran buruk tentang perkara yang dihalalkan dalam Islam.Menurutnya Allah menghalalkan lelaki yang berkemampuan untuk berkahwin lebih dari seorang isteri dan di sisi syarak, keadaan itu dibolehkan.

“Siapa kita nak (hendak) label wanita itu sebagai penyondol sedangkan Allah SWT sudah menghalalkan perkara berkenaan apabila lelaki itu berkemampuan.

“Baginda Rasulullah SAW juga mempunyai lebih daripada seorang isteri, apakah kita nak cakap isteri-isteri baginda itu dengan gelaran berkenaan? Jangan kita sedap mulut saja kerana geram atau marah sedangkan istilah itu sangat tidak sesuai,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mohd Kazim berkata, beliau melihat wujud ‘trend’ yang sangat membimbangkan bahawa ramai dalam kalangan wanita terbawa-bawa dengan emosi marah serta geram sekali gus melabelkan wanita yang berkahwin dengan suami orang ini sebagai penyondol.

Beliau berkata, ia memberi gambaran bahawa berkahwin lebih daripada seorang ini salah di sisi Islam sedangkan hakikat sebenar tidak sebegitu.

Poligami ini dibenarkan dalam Islam jika lelaki berkenaan berkemampuan. Kita pula seolah-olah ingin larang atau memberi persepsi bahawa poligami ini buruk dan salah.

“Siapa kita ingin lawan ketetapan yang sudah dibuat oleh Allah SWT. Jangan kita ikutkan emosi dan marah ini dengan melabelkan orang dengan sesuka hati kerana kita bimbang mungkin akidah kita yang menjadi taruhan kelak,” katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah gelaran kepada orang lain khususnya tentang perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam seperti isu poligami.

“Jika lelaki berkenaan berkemampuan daripada aspek material serta fizikal, poligami berkenaan tidak menjadi masalah untuknya. Kenapa pula kita perlu label wanita yang dikahwininya dengan gelaran yang tidak sepatutnya.”

Ini tindakan yang tidak betul… Malah memberi gambaran yang salah. Kita harus berhati-hati dan mengawal emosi kita jangan sampai melangkaui perkara yang sudah jelas dibolehkan dalam Islam, kita pula yang ‘mengharamkan’,” katanya.

Baca juga: Dah 2 bulan berlalu, apa tindakan MAIDAM terhadap ahli politik masih berceramah di masjid?