Hati-hati guna resipi Sambal Tomato Jawa ini, tak pasal habis nasi 2 pinggan!

Oleh WAN SITI AMINAH

Menikmati pelbagai jenis hidangan bersama sambal sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di negara ini terutamanya orang Melayu.

Bahkan bagi segelintir orang, tidak lengkap hidangan disediakan jika sambal seperti sambal belacan atau sambal kicap tidak disertakan di dalam sajian harian mereka.

Mampu membangkitkan selera, berikut kami kongsikan resipi Sambal Tomato Jawa untuk dicuba orang ramai khususnya suri rumah yang mahukan sesuatu kelainan.

Cukup mudah untuk disediakan, semua bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat hidangan sambal ini juga kebiasanya sudah berada di dalam dapur rumah anda.

Bahan-bahan:

  • Lima batang cili merah
  • Sepuluh batang cili padi hijau
  • Lima ulas bawang merah
  • Sebiji tomato merah ranum atau enam biji tomato ceri
  • Satu ruas jari belacan
  • Satu sudu kecil gula biasa atau gula perang (mengikut selera)
  • Sedikit garam
  • Sedikit perahan limau nipis

Cara-cara:

1. Potong kecil-kecil cili merah merah, cili padi hijau, bawang merah dan tomato.

2. Kemudian tumis bahan yang telah dipotong di dalam kuali dengan sedikit minyak sehingga agak layu.

3. Selepas itu, angkat semua bahan yang telah digoreng untuk dilenyekkan menggunakan lesung.

4. Tambahkan belacan, gula, garam dan sedikit perahan jus limau nipis.

5. Siap dan selamat mencuba sambal ini!

Tular di media sosial, resipi Sambal Tomato Jawa ini mulanya dikongsi oleh pengguna Facebook, Makcik Ratu menerusi hantaran yang dimuat naik di platform berkenaan.

“Selalunya, sambal ini tidak ditumbuk tetapi dilenyek di dalam lesung khas. Tetapi saya hanya menumbuk atau melenyeknya di dalam lesung batu perlahan-lahan.

“Awas ya, sila tumbuk atau lenyek dengan lemah gemalai supaya ia tidak merecik ke mata atau muka disebabkan oleh teksturnya yang agak berair.” Jelas Makcik Ratu.

Baca juga: Tular video makan bersama, Mimi Lana masih tidak iyakan atau nafi hubungan cinta dengan Syafiq Kyle