Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini sedang meneliti kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa mengundi untuk mencapai kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah haji dan umrah.
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee menerusi satu kenyataan dikongsikan di platform Facebook berkata bahawa penelitian itu bertujuan untuk memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah haji dan umrah dalam Islam.
Sehubungan dengan itu, tindakan meneliti kenyataan tersebut sedang dilakukan pihak JAKIM bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil maklum berhubung kenyataan yang dilaporkan media bertajuk ‘PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji’.
“Langkah diambil bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, semua pihak juga diseru untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang itu tampil memberikan ceramah dalam majlis kempen calon Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam kelmarin.
Dalam ceramah tersebut, Abdul Hadi sempat menyentuh mengenai sikap segelintir umat Islam di negara ini yang lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.
Umat Islam sebaliknya diseru untuk mendahulukan politik terlebih dahulu dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Abdul Hadi juga memaklumkan bahawa kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan di mana Islam perlu berkuasa seiring dengan firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Baca juga: Kena utamakan haji yang Fardhu Ain dari mengundi yang Fardhu Kifayah