Hati-hati tebus eMADANI, kerajaan akan sekat akaun jika anda lakukan perkara ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Penerima program eMADANI yang mula dilaksanakan hari ini boleh berhadapan dengan tindakan sekatan akaun dan pelucutan hak kredit.

Difahamkan, tindakan tegas oleh pihak kerajaan ini bakal dikenakan kepada individu yang melakukan aktiviti penebusan tunai melibatkan wang e-kredit bernilai RM100.

Kementerian Kewangan memaklumkan, tindakan akan dikenakan jika kes melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai dilaporkan, lapor Malaysia Gazette.

“Program eMADANI diluncurkan bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Oleh itu, kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan ‘peer-topeer’ atau penebusan tunai,” kata kementerian memetik laporan Malaysia Gazette.

Jelas kementerian tersebut, tindakan tegas ini juga akan mengelakkan penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan dan sekali gus hilang kredit.

Orang ramai juga diingatkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan tidak akan menggantikan semula kehilangan kredit akibat penipuan atau scam ini.

“Kementerian Kewangan tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” jelasnya.

Tidak hanya melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai, berikut aktiviti lain yang tidak boleh dilakukan oleh penerima manfaat program eMADANI;

1. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

2. Bayaran berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

3. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

4. Pembelian permainan (games) terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

5. Bayaran perkidmatan tempat letak kereta dan tol

6. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet

7. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian.

8. Transaksi QR merentas sempadan

Terdahulu, Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar mengumumkan bahawa program eMADANI melibatkan tawaran e-kredit bernilai RM100 boleh mula ditebus Isnin ini.

Pendaftaran eMADANI yang dibuka hingga 20 Februari 2024 ini akan memberi manfaat kepada seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40.

Mereka yang layak boleh menuntut eMADANI di salah satu aplikasi perkhidmatan e-dompet iaitu MAE (Maybank), Setel, ShopeePay dan juga Touch ‘n Go eWallet.

Khabar gembira ini diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu ketika membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara pada 29 November lalu.

Dengan nilai kos kira-kira RM1 bilion, program ini akan memberi manfaat kepada lebih 10 juta individu berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun.

Baca juga: Wanita terkejut bekas suami tuntut harta sepencarian rumah RM1.3 juta miliknya selepas 3 tahun bercerai