Hati suami saya memang di Kuale, kata isteri calon Amanah Kuala Kangsar

Hati suami saya memang di Kuale, kata isteri calon Amanah Kuala Kangsar

Isteri calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi mengakui hati suaminya memang di ‘Kuale’ walaupun bertahun-tahun merantau untuk menimba ilmu dan seterusnya mencurahkan kembali ilmu kepada anak bangsa.

Kamaliah Noordin, 60 ketika diminta menceritakan tentang suaminya berkata,
Ahmad Termizi sangat gembira apabila bertemu dengan ‘Orang Kuale’ dan bersemangat untuk menjadi wakil mereka di parlimen.

“Saya nampak Dr sangat gembira jumpa Orang Kuale. Dia Sungguh gembira dan saya pun gembira walaupun banyak aktiviti, sempat berehat sekejap-sekejap sahaja, malam pun balik lewat bulan puasa lagi tapi nampak dia seronok.

“Bila jumpa orang, bersalam-salaman bukan dia pura-pura. Senyum dan ketawa dia bukan dibuat-buat. Hati dia memang di Kuale. Tapi disebabkan tugas yang diberikan terpaksa duduk jauh,” ceritanya sambil tersenyum ketika ditemui di rumah keluarga Ahmad Termizi di Kampung Talang Dusun, Kuala Kangsar.

Ketika ditanya perasaan beliau apabila Ahmad Termizi diumumkan sebagai calon Amanah, wanita ramah yang merupakan bekas pengetua ini berkata beliau menerima ketentuan Allah ini dengan yakin dan memohon agar diberikan ketenangan untuk menghadapi segala cabaran.

Ceritanya, mereka mendapat tahu Ahmad Termizi dicalonkan mewakili Amanah dan Pakatan Harapan ketika sedang mengerjakan umrah.

Isteri calon Amanah Kuala Kangsar, Kamaliah Nordin yang mempunyai sembilan anak juga juga sangat suka kepada kanak-kanak.“Waktu dapat tahu Dr jadi calon, kami sedang mengerjakan umrah. Sebelum ke Mekah memang sudah ada ura-ura. Dan sewaktu di sana, dapat tahu Dr memang dicalonkan.

“Saya mengambil peluang ketika di Mekah untuk berdoa sungguh-sungguh memohon agar Allah tunjukkan jalan dan mudahkan segala urusan.

“Kalau ini jalan yang Allah nak kami lalui, saya pohon Allah beri kekuatan mental dan emosi kepada kami sekeluarga,” katanya yang bertuduh labuh dan berkaca mata.

Ahmad Termizi pula jelasnya, menerima keputusan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersedia menggalas amanah yang diberikan.

“Dr kata pada saya, ini sesuatu yang dia mesti buat kerana negara berada dalam keadaan pemimpinnya tidak lagi mengutamakan kebajikan rakyat sebaliknya melakukan banyak penyelewengan.

“Dia kata, kalau tolak amanah ini, dia takut tak mampu nak jawab di hadapan Allah nanti,” ujarnya yang mesra dipanggil Kak Kay.

Dalam pada itu beliau turut merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas ahli parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad atas kejadian yang menimpa mereka.

“Saya mengucapkan takziah kepada pihak keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il atas kejadian yang berlaku.

“Kami pun menerimanya sebagai aturan daripada Allah SWT dan kami berharap juga keluarga Allahyarham redha kerana perkara itu boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja. Kita atas dunia kena teruskan hidup dan berdoa roh arwah sentiasa dalam rahmat Allah dan dikumpulkan dengan orang-orang soleh,” doanya.

Berkongsi pengalaman beberapa hari mengikut Ahmad Termzi berkempen, Kamaliah berkata beliau melihat rata-rata pengundi yang ditemui berasa selesa dengan identiti Ahmad Termizi sebagai orang tempatan.

“Jumpa dengan masyarakat Alhamdulillah nampaknya mereka menerima Dr Termizi sebagai orang yang boleh diharapkan kerana Dr orang tempatan dia kenal orang ini, kenal orang itu. Mereka rasa kebersamaan dengan Dr.

“Bila pergi jumpa orang ramai, bersalam-salam nampak hampir semua, ada jugalah beberapa orang yang tak memberi sambutan tapi semuanya macam menerima. Kita berdoalah rasa kebersamaan mereka dengan Dr boleh diterjemahkan dalam bentuk undi,” katanya.

Bercerita lagi mengenai suaminya, Kamaliah memberitahu Ahmad Termizi seorang pencinta sejarah dan sangat suka mengambil tahu isu semasa sama ada di dalam atau luar negeri.

“Dr memang minat sejarah. Pernah suatu ketika dia bawa kami satu keluarga pergi ke Makassar untuk melihat susur galur keturunan Bugis, Daeng yang ada kaitan dengan keluarganya.

“Selain itu Dr sangat berminat dengan perkembangan semasa dunia. Memang dia ambil tahu semua. Layari internet, baca surat khabar, dia memang minat. Sebab itu saya yakin dia boleh mewakili masyarakat di sini sebab pembacaan dia luas. Dia tahu apa yang sedang berlaku dalam dan luar negara. Dia juga bekas pembahas sekolah,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kerjaya Ahmad Termizi pula, Kamaliah berkata seringkali orang mengaitkan kerjayanya dengan pembuatannya bom nuklear.

Sambil ketawa beliau berkata, Ahmad Termizi tidak terlibat dengan pembuatan bom nuklear sebaliknya lebih melindungi manusia dan alam sekitar daripada kesan radiasi.

“Bila sebut nuklear orang ingat Hiroshima dan buat bom. Sebenarnya negara kita belum ada tempat buat bom dan sebagainya. Dr Termizi lebih kepada dari sudut perlindungan radiasi.

“Sebab itu kajian-kajian dia banyak masuk mana-mana hutan Sabah Sarawak dan sebagainya untuk mengukur radiasi yang ada dalam alam sekitar kita adakah membahayakan manusia atau tidak. Itu satu aspek besar dalam kajian-kajian dialah.

Sebenarnya kerja dia berusaha mengenal pasti sekiranya ada radiasi yang membahayakan manusia. Di samping itu dalam kursus-kursus yang dia mengajar, dia mengajar para bakal gaduan yang akan menggunakan x-ray, ini semua menggunakan radiasi,” jelasnya yang memberitahu suaminya seorang penggemar durian.

“Kegemaran dia durian. Perak ini memang durian dia istimewa. Dia kalau beli durian di Kuala Lumpur tu semua tak sedap. Mesti nak durian sini juga.

“Mungkin sebab dari kecil dibesarkan di Perak ini dah biasa makan durian dusun-dusun tok atau arwah ayahandanya. Durian-durian kampung ini memang sedap sebenarnya banding dengan durian bandar. Jadi dia memang suka durian,” ujarnya yang telah 42 tahun mendidirikan rumah tangga dengan Ahmad Termizi dan mempunyai sembilan anak dan 14 cucu.

COMMENTS

Wordpress (0)