Hayati ajaran Islam atasi keruntuhan moral, kata Adenan Satem

Hayati ajaran Islam atasi keruntuhan moral, kata Adenan Satem

Masyarakat Islam digesa supaya menghayati ajaran Islam mengenai akhlak bagi mengatasi gejala keruntuhan moral yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi masa kini, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata punca keruntuhan itu sebahagian besarnya adalah kerana kurangnya kefahaman mengenai ajaran Al-Quran dan sekiranya tidak ditangani segera akan membawa padah kepada masyarakat.

“Dengan menghayati ajaran Al-Quran, gejala keruntuhan moral akan dapat dihapuskan,” katanya

dalam teks ucapan yang dibacakan pada majlis perasmian Tilawah Al-Quran peringkat negeri di Dewan Kompleks Islam.

Teks disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Seramai 24 peserta qariah dan qariah mengambil bahagian dalam majlis tilawah itu yang berlangsung sehingga 10 Mac.

Adenan berkata Al-Quran merupakan panduan dan pembina akhlak mulia walaupun bagi masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Ini kerana akhlak yang dimuliakan oleh Islam tidak bertentangan dengan konsep yang sama bagi masyarakat bukan Islam, walaupun penekanannya mungkin berbeza,” katanya.

Beliau berkata umat yang maju di dunia dan akhirat adalah terdiri daripada mereka yang memiliki ciri-ciri akhlak mulia di samping mampu membangunkan tamadun tinggi seperti dibuktikan pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Namun katanya, tamadun Islam akan menjadi luntur apabila ajaran Al-Quran dibelakangkan atau disalahtafsirkan demi kepentingan pihak-pihak tertentu.

Adenan berkata masyarakat sesebuah negara yang menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia mampu hidup dalam keadaan aman, sejahtera dan menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi serta kemajuan negara.

TAGS