Hayati erti kemerdekaan dari segi rohani, jasmani

Hayati erti kemerdekaan dari segi rohani, jasmani

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, masyarakat perlu membetulkan cara menyambut kemerdekaan dengan lebih baik dari segi rohani dan jasmani.

Beliau berkata,  semua peringkat masyarakat perlu memainkan peranan untuk mengekalkan kemerdekaan serta menjadi hamba Allah yang patuh kepada arahanNya.

“Rakyat perlu merdekakan diri dari segala hawa nafsu dan perkara negatif mahupun perkara-perkara yang dimungkari oleh Yang Maha Esa.

“Pada kemerdekaan kali ini, rakyat sudah memilih pemimpin yang tepat bagi mereka dengan kuasa demokrasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang maju,” ujarnya.

Beliau hadir menyampaikan Kuliah Zohor Khas bertajuk ‘Merdeka di Dunia, Merdeka di Akhirat’  sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang diadakan di Surau Kementerian Kerja Raya di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar juga menyentuh mengenai perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasululah saw yang telah membuka ruang untuk membebaskan manusia daripada cengkaman seorang pemerintah terhadap golongan hamba abdi dan pemiutang.

“Antara ruang yang diberikan Rasulullah saw, membebaskan hamba, dan pemiutang. Kutipan zakat digunakan untuk menebus hamba dan denda yang dikenakan ke atas orang Islam yang didapati bersalah dengan membebaskan seorang hamba.

“Oleh itu soal kemerdekaan ini adalah antara yang diperjuangkan oleh Rasulullah dan agama Islam. Buat pertama kali di bawah pemerintahan Rasulullah saw, orang Arab memahami erti kebebasan dan tidak takut atau tunduk kepada tekanan pemerintah mereka,” ujarnya.

Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti AMANAH Negara juga turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk bersama meraikan sambutan hari kebangsaaan yang akan diadakan di Putrajaya esok.

“Hari ini kita bebas, kita tidak lagi dikongkong penjajah, kita adalah bangsa yang merdeka dan berdaulat.

“Esok bila kita menyambut perayaan kemerdekaan di Putrajaya haruslah beramai-ramai hadir untuk bersama meraikannya,” ujarnya.

Mohd Anuar Tahir turut menjadi iman solat Zohor sebelum memulakan kuliahnya  di Surau Kementerian Kerjaya Raya, Jalan Sultan Salahuddin hari ini.

Beliau turut mengimbas pengalamannya pernah menyertai perarakan perbarisan hari kebangsaan pada tahun 1971 ketika dibawah kepimpinan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein

“Saya masih ingat tahun 1971 ketika menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM) pada tahun pertama pengajian, saya dipilih menyertai perbarisan hari kebangsaan di Dataran Merdeka.

“Saya diberikan sehelai baju T, songkok dan kasut getah untuk perbarisan.  Masa itu rasa bangga kerana dapat berbaris di hadapan seorang perdana menteri Tun Abdul Razak.

“Hari ini giliran saya dan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  bersama Yang Di Petuan Agong pula akan memberi penghormatan oleh pasukan tentera dan polis pada perbarisan esok hari.

“Saya diminta untuk memberikan taklimat kepada peserta perbarisan, saya sempat menceritakan pengalaman saya sendiri pada 1971 itu dan pada 2018 saya tidak berbaris tetapi akan duduk di pentas menyaksikan perbarisan mereka pula.

“Saya rasa berdiri di atas pentas tiada lagi ‘umpph’… umpphnya ada pada mereka yang akan berbaris seperti yang pernah saya buat pada 1971.. berbaris di bawah lebih dapat merasakan semangat kemerdekaan sebenar,” ujarnya.

Esok akan berlangsung perarakan Hari Kebangsaan ke-61 di Dataran Putrajaya, justeru beliau berkata di kalangan kepimpinan baharu Pakatan Harapan diharapkan agar dapat untuk menonjolkan kepimpinan terbaik untuk seluruhrakyat negara ini.

“Ini zaman baharu tidak boleh bersembunyi. Siapa yang jadi ketua dan jadi pemimpin ketahui rakyat melihat, kita tidak boleh bersembunyi orang pasti kenal,” ujarnya.

Kuliah yang dihadiri lebih kurang 100 kakitangan Kementerian Kerja Raya sempena sambutan kemerdekaan bertajuk Merdeka di Dunia Merdeka di Akhirat yang disampaikan Mohd Anuar Tahir.

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 10.0