Malaysia Dateline

Hayati idealisme perjuangan AMANAH sebagai parti Islam, pesan Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan ahli AMANAH supaya menghayati sebaiknya idealisme parti sewaktu ia ditubuhkan supaya ia dapat diperjuangkan sebaiknya.

Tujuannya kata beliau, adalah untuk mewujudkan jiwa-jiwa yang mampu memikul amanah bagi menjelmakan idealisme berkenaan.

Kata beliau, ahli parti perlu menghayati AMANAH sebagai sebuah parti Islam yang membawa tema Rahmatan Lil’alamin, iaitu Islam yang bersifat kasih sayang antara sesama insan.

“…bukannya parti Islam yang membawa pendekatan Islam yang agresif dan menakutkan masyarakat dan rakyat negara ini, ” kata beliau sewaktu berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Negeri Sembilan Kali Ke-3 bertempat di Floral Cristal Event Space, Senawang hari ini.

Sehubungan itu jelas beliau, AMANAH perlulah memposisikan dirinya untuk mengetengahkan keindahan Islam itu dalam masyarakat di negara ini.

“Kita boleh bercakap bahawa Islam itu indah dan Islam itu begitu begini, tetapi orang tidak akan dapat melihatnya selagi ia tiada pada diri mereka yang dikatakan memperjuangkan Islam seperti yang dikatakan itu,” tambah Timbalan Menteri Sumber Manusia itu.

Katanya lagi, dalam usaha untuk menjadikan AMANAH sebagai parti Islam masa depan di negara ini, ahli AMANAH perlu membawa pendekatan berkasih sayang sesama insan.

Beliau berharap ahli AMANAH tidak melupakan asas penubuhan parti itu tiga tahun dahulu sebagai sebuah parti Islam.