Hayati sambutan kemerdekaan, ketepikan perbezaan politik, kata KM P. Pinang

Hayati sambutan kemerdekaan, ketepikan perbezaan politik, kata  KM P. Pinang
Chow Kon Yeow bersama anggota konvoi di Sungei Nibong.

Sambutan bulan kemerdekaan harus dihayati dengan penuh kecintaan kepada negara dengan mengenepikan perbezaan negeri maupun parti politik, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, sambutan bulan kemerdekaan diharapkan dapat menyatukan semua rakyat dibawah satu payung iaitu ‘Jalur Gemilang’.

“Ketepikan segala perbezaan yang ada dan cari titik persamaan untuk negara kita.

“Sambutan kali ini amat bermakna kerana kerajaan baru sedang menghadapi pelbagai cabaran serta masih lagi dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan pentadbiran dan penggubalan polisi-polisi kerajaan.

“Sudah pasti dalam jangkamasa yang singkat adalah sukar bagi memuaskan semua golongan masyarakat, ” ujarnya ketika meraikan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Sungai Nibong.

Beliau juga berkata, apabila tibanya bulan kemerdekaan maka semua rakyat harus berada dibawah satu payung.

Malah tegasnya, apa yang penting bukan hanya setakat mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi penghayatan kemerdekaan itu harus lebih diutamakan.

“Penghayatan serta nilai semangat yang ada telah dizahirkan melalui Jalur Gemilang supaya semangat patriotisme dapat digilap kembali.

“Ia bukan hanya setakat mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara fizikal semata-mata, tetapi ialah penghayatan sebenar erti kemerdekaan.

“Kecintaan kita kepada tanah air harus digilap dengan penuh semangat agar sambutan kemerdekaan benar-benar dapat dihayati, ” tambah beliau.