Haziq dihantar surat tunjuk sebab dari timbalan menteri

Haziq dihantar surat tunjuk sebab dari timbalan menteri
"Sebarang kenyataan atau tindakan yang mencemarkan nama baik kerajaan boleh dikenakan tindakan terhadap mana-mana kakitangan apatah lagi kakitangan kontrak," kata Shamsul dalam sidang medianya hari ini.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menghantar surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau, Haziq Abdul Aziz semalam bagi meminta beliau memberikan sebab kenapa tindakan tidak boleh diambil ke atasnya.

Ini berikutan kenyataan beliau terlibat dalam video lucah dengan orang yang dinamakan sebagai Menteri Pembangunan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Sebarang kenyataan atau tindakan yang mencemarkan nama baik kerajaan boleh dikenakan tindakan terhadap mana-mana kakitangan apatah lagi kakitangan kontrak,” kata Shamsul dalam sidang medianya hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Haziq dalam kerajaan terletak di tangan Shamsul kerana beliau adalah bosnya.

Gabungan Ketua-Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Shamsul menggantung tugas Haziq selaku Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau dengan serta merta.

Ini berikutan dakwaan Haziq bahawa dia adalah lelaki yang terlibat dalam video lucah yang memaparkan imej seorang menteri kanan.

“Kami berpendapat imej kementerian dan kerajaan Malaysia tercalar kerana konspirasi terancang yang mirip 20 tahun lalu.

“Sewajarnya SUSK tersebut tidak lagi dibenarkan berhubung rasmi dengan agensi dan juga orang awam demi menjaga kredibiliti kementerian.

“Justeru, kami berharap tindakan kadar segera diambil supaya tidak timbul polemik-polemik lain yang boleh merosakkan reputasi dan usaha kerajaan mengembalikan negara atas landasan yang betul,” kata gabungan dalam kenyataan di sini semalam.