Malaysia Dateline

Haziq langgar kod etika parti, dipecat serta merta daripada PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada parti itu berkuat kuasa serta merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata surat pemecatan itu akan dikeluarkan dengan segera selepas keputusan dibuat malam ini.

“Biro Politik PKR membuat keputusan memecat Haziq selepas menerima syor yang dibentangkan Lembaga Disiplin parti malam ini.

“Surat pemecatan itu akan dikeluarkan segera dan ditanda tangani Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim; Naib Presiden, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dalam pada itu, Ahmad terlebih dahulu menyatakan sebab Lembaga Disiplin PKR memberi syor kepada Biro Politik parti untuk memecat Haziq Abdullah.

“Kami telah menerima surat jawapan daripada Haziq bertarikh 2 Julai lalu. Selepas surat itu diteliti, dalam mesyuarat bersama Biro Politik hari ini, kita mencadangkan beliau dipecat daripada parti kerana didapati melanggar kod tata etika parti.

“Syor untuk memecat Haziq adalah kerana tuduhan terbuka yang dibuat oleh beliau terhadap pimpinan parti, iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terbabit salah laku rasuah tanpa bukti.

“Selain itu, beliau turut menuduh secara terbuka berkenaan dengan kes yang sedang disiasat pihak polis pada ketika ini iaitu video lucah,” katanya.