Hazwan komited rebut tempat dalam Skuad Harimau Malaya

Hazwan komited rebut tempat dalam Skuad Harimau Malaya

Pemain bahagian serangan, Ahmad Hazwan Bakri sudah bersedia untuk memberi komitmen penuh bagi menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe supaya terus kekal bersama pasukan itu.

Pemain berusia 28 tahun itu jarang mendapat peluang untuk beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi persahabatan menentang Jordan pada Jumaat ini, diikuti kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dengan Cheng Hoe bakal menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula semalam, Ahmad Hazwan terpaksa merebut tempat bersama empat lagi penyerang yang berada dalam senarai itu.

Mereka adalah penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha, dari pasukan Pahang, Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak) dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).

“Saya bersyukur kerana jurulatih masih memberi peluang pada saya. Saya tahu saya jarang dapat bermain di JDT, saya tak pertikaikan itu kerana ada banyak pemain berkualiti di sana,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras hari ini.

“Dari segi kecergasan, saya rasa tiada masalah kerana latihan di kem kebangsaan juga berintensiti tinggi. Terpulang kepada jurulatih nak turunkan siapa, tetapi saya akan beri komitmen yang tinggi untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama,” tambahnya.

Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan G bagi pusingan kedua kempen kelayakan itu, akan membuka saingan menentang musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada 5 Sept, diikuti cabaran getir bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 Sept. Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Cheng Hoe menyifatkan perlawanan pertama dalam mana-mana kejohanan sangat penting untuk meningkatkan motivasi pemain dan berharap pemain dapat mengatasi tekanan di GBK supaya tidak hilang fokus.

“Kita tidak boleh terlalu emosional ketika beraksi menentang Indonesia sehingga menyebabkan kita hilang fokus. Kalau kita lihat pada sejarah pertembungan Malaysia dan Indonesia, memang kedua pasukan ini seimbang, tiada kelebihan bagi kedua-dua pasukan.

“Tetapi kali ini kita nampak persiapan Indonesia lebih serius, dengan penambahan pemain naturalisasi, jadi kita tak boleh nilai berdasarkan tempo mereka pada Piala AFF sebelum ini kerana mereka lebih mantap sekarang.

“Saya juga sangat gembira dengan prestasi pasukan kita sekarang, kerana kita telah menunjukkan peningkatan dalam semua perlawanan. Aksi menentang Jordan (ranking 99 dunia) sebagai satu penanda aras untuk pasukan kebangsaan sama ada kita boleh perform atau tidak, tapi saya sangat positif mengenai perlawanan itu,” katanya.

Di tanya mengenai kerisauan keselamatan di GBK, Cheng Hoe berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia telah menghantar wakil membincangkan isu keselamatan dengan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan beliau berharap semuanya berjalan lancar.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan pangkal paha sejak dua minggu lepas, masih menjalani latihan ringan dan pihaknya sedang memantau keadaan pemain kelahiran Gambia itu dengan harapan kecederaan akan pulih dalam masa yang singkat.– BERNAMA