HDC komited jadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi

HDC komited jadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) komited terhadap aspirasi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi dengan nilai tambah dan berpendapatan tinggi selain memperkukuh hubungan dengan negara serantau dan antarabangsa yang merupakan teras pertumbuhan ekonomi Islam global.

Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata ekonomi Islam misalnya terus diterima di peringkat global, malah dijadikan sebahagian daripada sistem antarabangsa serta turut melonjakkan peluang penyertaan masyarakat global.

“Ini meningkatkan saling hubungan baik di peringkat dalam serta antara rantau ekonomi dunia.

“Walaupun di peringkat awalnya pembangunan ekonomi Islam lebih bercirikan domestik dan keagamaan, pertumbuhannya pada hari ini  tidak lagi bersifat organik dan banyak bertumpu di negara dengan jumlah penduduk Muslim yang ramai.

“Penyumbang utama perkembangan itu adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan terhadap produk-produk halal serta penerimaan kewangan Islam yang terus ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam panel perbincangan di Forum Kepimpinan Muslim Dunia Kali Keempat bertajuk ‘Ekonomi Halal dan Kewangan Islam Menjana Ekonomi Global Baharu : Bagaimana Sumbangan Ekonomi Halal dan Kewangan Islam Terhadap Ekonomi Global?” di London pada Khamis.

Menerusi kenyataan yang memetik pembentangan beliau di London, Jamil berkata usaha pengantarabangsaan ekonomi Islam dalam dekad terbaharu juga dapat meningkatkan potensi jalinan kerjasama strategik antara pihak pengawal selia antarabangsa dan penggiat yang memberi memberi manfaat pengukuhan bersama.

“Penyepaduan global serta kerjasama strategik akan turut mengukuhkan peluang Malaysia serta negara lain untuk memanfaatkan kelebihan perbandingan negara yang pelbagai,” katanya.

HDC berkata, industri makanan halal global dijangka mencecah nilai US$739.59 bilion menjelang 2025 manakala industri kewangan Islam diunjur berkembang kepada US$6.7 trilion menjelang 2020, dipacu oleh lonjakan minat negara bukan Muslim terhadap kewangan Islam.

Pada masa ini, lebih 300 institusi Islam global bergerak aktif di serata dunia manakala sejumlah lebih US$260 bilion telah dilaburkan dalam dana-dana Islam.

— BERNAMA