Malaysia Dateline

Hebat, tak sampai separuh untuk Malaysia, lebih separuh untuk Riza

Tun Dr Mahathir Mohamad terus mempertikaikan tindakan Peguam Negara bersetuju menerima rundingan untuk membebaskan Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak walaupun lebih separuh dari harta yang dicuri akan diperolehi oleh penerbit filem separuh lucah itu.

“Jadi Riza Aziz sedia untuk pulangkan kurang dari separuh wang yang dirampas oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika, di mana jabatan ini akan mengembalikannya kepada Malaysia.

“Jumlah yang lebih besar yang dicuri oleh Riza akan kekal kepadanya. Dengan lain perkataan, dia akan terus mendapat duit yang dicurinya dan bebas,” kata Tun Dr Mahathir dalam tulisannya.

Bekas PM itu mengulas keputusan perundingan antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara dengan anak tiri bekas PM Najib bagi membebaskan Riza dari dakwaan penggubalan wang haram.

Riza sebelum ini didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz itu.

Ia adalah sebahagian dari persetujuan rundingan yang dibuat itu. Bagaimanapun yang peliknya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan penglibatan beliau, kata Tun Dr Mahathir.

“Semua orang yang sepatutnya terlibat dalam membuat keputusan ini berkata mereka tidak terlibat. Sememangnya, kerana mereka tahu keputusan ini salah,” katanya.

Malaysia sekarang mempunyai kerajaan yang baru, kata Tun Dr Mahathir.

“Kerajaan ini tertubuh atas sokongan mereka yang sedang dibicarakan kerana mencuri wang, penggubahan wang haram dan rasuah.

“Kita sebenarnya mempunyak kerajaan yang didokong oleh orang yang terlibat dengan jenayah. Kita sudah tentu tidak yakin keadilan akan tertegak di negara ini kerana kuasa yang mereka perolehi hasil dari pengaruh penjenayah,” kata bekas PM dua kali itu.