Malaysia Dateline

Henti aniaya pembangkang, Muhyiddin mesti pecat Hamzah, Azmin

Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menyingkirkan dua pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah mengundang pelbagai ‘huru-hara’ politik di negara ini.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, tindak tanduk serta nasihat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengganggu proses demokrasi berparlimen.

“Saya sudah cakap sejak sesi Parlimen pada 18 Mei lepas, Muhyiddin sepatutnya berhenti berharap dan percaya bulat-bulat kepada Hamzah dan Azmin.

“Hamzah sendiri seperti tidak faham realiti politik hari ini yang tidak lagi seperti dulu yang hanya berasaskan satu parti politik sahaja,” dipetik Roketkini. 

Chin Tong berkata, Hamzah kini masih lagi cuba berusaha mengembalikan pemerintahan satu parti dengan anggapan Muhyiddin memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengarah Strategik DAP itu mendakwa Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen dari pembangkang antara Mac sehingga Mei lalu.

“Tidak ramai pun yang menerima pelawaan menyeberang dengan majoriti tipis itu, jangkaan kononnya ramai akan lompat sebenarnya sangat kurang bijak.

“Malah, selama lebih setengah tahun, pencapaiannya hanya sekadar Ahli Parlimen Lubok Antu sahaja yang melompat ke sana,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kluang mendedahkan keputusan menggantung Parlimen dan darurat sudah diketahuinya sejak beberapa minggu lalu.

“Tapi apa yang mengejutkan saya apabila Muhyiddin meneruskan juga ‘idea’ tersebut dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lepas (23 Oktober).

“Beliau terus membuat kesilapan demi kesilapan dengan keputusan mengejutkan darinya, bermula daripada menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hamzah juga merupakan arkitek rampasan kuasa yang gagal pada Oktober 2019 (yang berusaha memecat DAP dan AMANAH dari PH) yang juga bersekongkol dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein.

“Dia juga merupakan penggerak utama Langkah Sheraton, dibantu oleh Azmin,” tegasnya.

Dalam masa sama, Chin Tong mengingatkan Muhyiddin perlu menerima hakikat dirinya bukan menerajui sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau pemerintahan satu parti dominan sahaja.

Sehubungan itu, jelasnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut bertanggungjawab untuk mewujudkan permuafakatan antara sekutu dan menjalin muhibah dengan pembangkang lagi-lagi dalam melawan pandemik Covid-19.

“Henti aniaya pembangkang, beliau perlu menjadi Perdana Menteri untuk semua dan bukannya untuk parti Bersatu sahaja.

“Bukan pembangkang sahaja yang gusar, malah sekutunya Umno sendiri juga gusar.

“Untuk ini, Muhyiddin perlu meminta Hamzah dan Azmin meletak jawatan dari Kabinet, dan bertanggungjawab terhadap semua keputusan serta nasihat yang telah mereka lakukan termasuklah menasihati YDPA dan menyebabkan keadaan politik yang huru hara,” tambahnya lagi.