Henti bangkit isu MB Kedah, utamakan perpaduan,jauhi persepsi negatif

Henti bangkit isu MB Kedah, utamakan perpaduan,jauhi persepsi negatif

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Petani, Dr Robert Ling menyarankan semua pihak supaya tidak membangkitkan lagi isu kedudukan Menteri Besar Kedah kerana ia sebagai satu usaha untuk memecahbelahkan PH di negeri Kedah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau menyatakan bahawa kenyataan media mengejutkan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mendakwa bahawa beliau boleh melakukan perkara yang hebat di Kedah sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani untuk kembali ke Parlimen.

Malah kenyataan Johari telah mendapat respon Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid yang telah menafsirkan ia seolah-olah ada komplot untuk merampas kerusi Menteri Besar yang kini diterajui oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Datuk Johari adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan PKR.

“Pimpinan parti diperingkat negeri Kedah maupun Cabang Sungei Petani sama sekali tidak pernah membincangkan kedudukan Datuk Johari sekiranya Anwar bertanding bagi kerusi Parlimen tersebut.

“Selaku Pengerusi PH Sungai Petani merangkap Ketua Cabang PKR Sungei Petani sangat mengalu-alukan Anwar bertanding kerusi Parlimen Sungai Petani sebagai persediaan untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri kelapan, ” ujarnya.

Menurut Robert lagi, namun begitu ia tidak melibatkan perlunya Johari dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah setelah konsensus PH jelas bersetuju dan menyokong Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Katanya, Mukhriz perlu diberi ruang dan waktu untuk mengurus negeri ini sebaik mungkin.

Semalam dalam satu kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dipetik berkata, beliau menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah sekaligus menolak dakwaan bahawa beliau ingin merampas jawatan itu.

Johari berkata isu kononnya beliau mampu menjadi Menteri Besar Kedah yang lebih baik daripada Mukhriz telah disalah anggap.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote