Malaysia Dateline

Henti cakap politik, fokus ekonomi, kata A Kadir Jasin

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pemimpin perlu berhenti berbincang dan tidak terus fokus dengan isu peralihan kuasa yang kini digalas oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau berkata, hal ehwal ekonomi dilihat lebih membimbangkan yang memerlukan perhatian dan tindakan berkesan dari kerajaan.

“Tak perlulah lagi kita nak menghebohkan hal peralihan kuasa kerana yang penting sekarang adalah masalah ekonomi negara yang kita alami.

“Ahli ekonomi meramalkan ekonomi makin sukar jadi kita spatutnya menumpukan untuk membangunkan sektor itu. Henti cakap politik, kita cakap pasal ekonomi,” katanya.

Sementara itu, beliau terus menzahirkan keyakinan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri yang ke-8 selepas tempoh dua tahun yang dijanjikan Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir mengiyakan apabila beliau bertanya jika Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut mengulas tentang gambar Anwar yang sering bertemu dengan Dr Mahathir, dan menyifatkan ia sebagai satu gambaran positif.

“Berkongsi gambar bersama bukan beria-ia. Ia berikan satu gambaran positif iaitu Dr Mahathir dan Anwar ada hubungan erat.

“Apa yang dilakukan, diketahui oleh Anwar dan beliau berpeluang berbincang dengan Mahathir. Rakyat cuma nak lihat proses peralihan itu berlaku dalam keadaan licin dan aman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi Buku Anwar PM Ke-8, Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman; Bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar; Editor Astro Awani sebagai moderator, Nazri Kahar; dan Penulis Buku, Shahbudin Husin.