Henti edar borang keahlian sebelum Bersatu dilulus Pendaftar Pertubuhan

Henti edar borang keahlian sebelum Bersatu dilulus Pendaftar Pertubuhan

Sebarang pendaftaran keahlian untuk menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terlebih dahulu, kata Setiausaha Penaja Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Kamarulazman Habibur RahmanSebarang pendaftaran keahlian untuk menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terlebih dahulu, kata Setiausaha Penaja Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau berkata terdapat pihak tertentu yang mengeluarkan borang keahlian menyertai Bersatu untuk mengumpulkan ahli parti  tanpa arahan daripada pihak penaja selepas beberapa jam berita permohonan pendaftaran parti baharu itu dibuat dipejabat RoS baru-baru ini.

“Sambutan terhadap Bersatu amat menakjubkan dan menjadi sebutan masyarakat dari segenap lapisan masyarakat.

“Dalam tempoh beberapa jam sahaja kita telah dihujani dengan ribuan permohonan untuk menjadi ahli Bersatu.

“Dalam keghairahan orang ramai menjadi ahli, ramai pula yang telah mengeluarkan borang keahlian untuk menyertai Bersatu.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa sebarang pendaftaran keahlian hendaklah dilakukan setelah Bersatu mendapat kelulusan daripada RoS,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Azman yang juga Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) menjelaskan semua pihak perlu bersabar.

“Bagi mengelakkan sebarang halangan, kekeliruan dan kekangan terhadap kelulusan Bersatu, saya ingin menyeru agar semua pihak bersabar dan jangan mengeluarkan sebarang borang keahlian sendiri yang akan mengelirukan orang-ramai.

“Yakinlah kita mempunyai borang keahlian sendiri dan sebaik sahaja kita mendapat kelulusan daripada ROS, borang ini akan diedarkan sama ada diisi secara atas talian ataupun secara manual melalui borang,” ujarnya.

Pada 9 Ogos lalu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  telah melakar satu lagi  sejarah politik  apabila  membuat permohonan rasmi kepada RoS bagi penubuhan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

TAGS