Malaysia Dateline

Henti gelagat rakus ahli politik, Anwar seru segera gerakkan reformasi institusi

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa pelantikan Menteri Besar baru-baru ini juga dianggap relevan dengan situasi politik semasa di peringkat Persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Sultan Nazrin yang berkaitan salahguna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik tidak terhad dengan perkembangan politik di Perak sahaja.

“Saya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salahguna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.

“Saya fikir bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat Persekutuan juga,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Disember lalu, Sultan Nazrin juga antara lain bertitah sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan reformasi institusi harus segera digerakkan.

Presiden PKR berkenaan berpendapat usaha tersebut perlu dilaksanakan bagi memungkinkan tatakelola yang baik dan bertanggungjawab serta tidak mengkhianati amanah dan mengabai kepentingan rakyat.

“Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak.

“Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba,” tegas Anwar lagi.