Malaysia Dateline

Henti haramkan seni dan budaya tempatan, kata Exco Pulau Pinang

Pemerkasaan seni budaya warisan tempatan sangat penting kepada negara ketika ini, kata Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut beliau lagi, pemerkasaan ini begitu penting bagi memastikan nasib kesenian tersebut tidak pupus dan mendapat tempat dikalangan masyarakat.

“Sebagai contoh pengharaman beberapa seni budaya tempatan seperti Mak Yong, Menora, Main Puteri, Kuda Kepang dan pelbagai lagi seni budaya oleh beberapa kerajaan negeri adalah tidak wajar.

“Pengharaman tersebut juga adalah kerana pelbagai alasan yang didakwa termasuklah mengandungi unsur-unsur pemujaan.

“Terdapat juga yang didakwa mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat serta bertentangan dengan agama Islam, ” jelasnya lagi.

Namun begitu katanya, perbincangan secara serius wajar diadakan oleh pihak kerajaan dengan pakar kesenian tempatan.

Malah ujarnya lagi, ia adalah bagi memastikan budaya tersebut terpelihara.

“Sekiranya pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap beberapa unsur yang dilarang, maka amat wajar ia dilakukan memandangkan seni budaya merupakan suatu yang dinamik.

“Ia juga boleh disesuaikan mengikut perubahan masa dan persekitaran.

“Perlu dilihat, seni budaya wayang kulit pernah diharamkan suatu ketika dahulu, ” tegasnya.

Namun begitu kata Abdul Halim lagi, pengubahsuaian yang dilakukan menyebabkan kesenian tersebut sudah dibenarkan pada tahun 2012.

“Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Karima Bennoune pada 14 Mac yang lalu menggesa kerajaan memperbaiki hak budaya dalam negara ini.

“Gesaan tersebut dibuat ekoran masih wujud sekatan terhadap seni budaya tempatan seperti Mak Yong dan beberapa seni budaya yang lain.

“Oleh kerana itu syor tersebut harus diberi perkiraan dan dipertimbangkan dengan sewajarnya, ” tambah beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung.