Malaysia Dateline

Henti keluar arahan ‘separuh masak’, fokus keperluan rakyat

Kerajaan terutamanya barisan Menteri seharusnya menunjukkan kefahaman dan keseriusan dalam menangani ancaman wabak Covid-19 dan bukannya terus-terusan mengeluarkan arahan ‘separuh masak’.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata, ia merujuk kepada sikap Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan yang tidak menunjukkan contoh tauladan baik dengan melanggar sendiri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

Beliau mendakwa, tindakan Menteri dan Timbalan Menteri serta ‘konco-konconya’ itu merencatkan imej barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus meletakkan Malaysia sebagai negara terbaik menguruskan kemelut yang berlaku.

Lebih malang lagi katanya, mangsa kepada tindakan dua menteri terbabit terpalit kepada rakyat yang disuruh duduk di rumah, namun pemimpin pula ‘berkenduri’ dan berpolitik.

“Ia seolah-olah seperti dua dunia berbeza. Ada yang mengatakan ia seperti dua darjat. Rakyat diarah ambil serius wabak, duduk di rumah, jaga jarak sosial dan jaga kebersihan.

“Tetapi Menteri dan Timbalannya tidak serius dan seolah-olah tidak sensitif, keluar arahan separuh masak, keluar berkenduri dan masih berpolitik meskipun rakyat sedang susah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi PKR Negeri Johor itu juga berkata, kebimbangan utama adalah apabila Malaysia berhadapan dengan krisis luar jangka dengan Pandemik sedunia yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Namun menurutnya, beliau tidak menimbulkan kerisauan tersebut untuk mencari kesalahan atau mahu menyerang musuh politik yang lain.

Tegasnya, tiada satu pun tindakan Menteri atau Timbalan Menteri yang menjadi bahan sinis rakyat adalah hasil muslihat politik pembangkang.

Justeru katanya, kerajaan perlu serius tanpa meminggirkan sesiapa tidak kira sama ada pakar, badan bukan kerajaan, wakil rakyat pembangkang, agensi persekutuan dan negeri, apatah lagi rakyat dan unit akar umbi di bawah seperti penghulu, ketua kampung dan ketua masyarakat.

“Setiap entiti ada peranannya, contohnya pakar-pakar dan wakil masyarakat. Mereka ada sudut pandang yang wajar diambil kira. Kurangkan berprotokol & birokrasi yang merumitkan.

“Begitu juga dengan wakil-wakil rakyat. Peranan sidang dewan undangan negeri dan sidang parlimen tidak boleh diambil mudah sebagai medan perantaraan pandangan, cadangan, semak dan imbang bagi kerajaan.

“Dengan situasi dan tingkah laku yang dipamerkan oleh ahli kerajaan seperti yang boleh dilihat di media sosial secara mudahnya, apa jaminan yang kerajaan ini akan ‘come out stronger when the dust settles’ seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri?” soalnya.