Malaysia Dateline

Henti keluarkan kenyataan isu kuota pelajar kolej matrikulasi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyeru agar semua pihak berhenti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu kuota pelajar di kolej matrikulasi.

Beliau berkata, ini bagi menghormati keputusan yang telah ditetapkan Kabinet dan dimumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan berhubung kuota pelajar ke kolej matrikulasi.

“Ia selaras dengan keputusan Kabinet yang memutuskan agar kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan iaitu pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.

“Meskipun kuota kekal, namun Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditambah kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

“Malah, untuk makluman, Kabinet juga bersetuju dengan penambahan bilangan pelajar ini, keutamaan akan diberi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 dan ia juga melibatkan pelajar bukan bumiputera.

“Kenyataan Dr Maszlee berhubung isu kuota pelajar Matrikulasi hanyalah mempertahankan keputusan yang telah diputuskan Kabinet. Keputusan untuk mengekalkan kuota tersebut itu juga bersesuaian dengan visi asal program matrikulasi diadakan iaitu bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata, kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Dr Maszlee memberitahu, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Justeru beberapa kepimpinan dalam PH sendiri mengeluarkan kenyataan mereka mempertahankan Dr Maszlee dan mencabar  sekiranya sekolah venekular dihapuskan terlebih dahulu sebelum  kuota kemasukan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dipersoalkan oleh pimpinan DAP,MCA dan Gerakan.