Malaysia Dateline

Henti kontroversi, elak jejas kestabilan politik PH, kata Faiz Fadzil

Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Beebi Koya tidak harus dibiarkan terus menjadi kontroversi sehingga boleh menimbulkan polemik politik, kata Ahli Parlimen Permatang Pasir Faiz Fadzil

Beliau secara peribadi berpandangan kontroversi berterusan pelantikan Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyer For Libert itu, boleh menjejaskan kestabilan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Agenda memulihkan ekonomi negara dan rakyat berjalan dengan baik dan , kestabilan politik amat penting pada masa ini.

“Kekalahan Parti Demokratik Jepun yang hanya mentadbir sepenggal kerana antara lain wujudnya konflik dalaman harus dijadikan pengajaran.

“Justeru, usaha membasmi rasuah yang sedang dilaksanakan secara serius oleh kerajaan PH sekarang harus menjadi keutamaan dan kontroversi pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini pula dijadikan pengajaran reformasi tadbir urus kerajaan PH.

“Kerajaan baharu yang dipilih rakyat ini digagaskan atas perjuangan membasmi rasuah dan oleh itu seseorang dari eksternal, yang mempunyai kelayakan bidang ilmu undang-undang dan karakter yang berani dan tegas sesuai untuk dilantik.

“Justeru, suatu peluang harus diberikan kepada Latheefa Koya untuk menjalankan tugas ini dengan bebas, adil serta tanpa takut dan berat sebelah.

“Perlantikan Latheefa Koya juga menepati seksyen 5 Akta SPRM dan tiada pelanggaran undang-undang berlaku dalam perlantikan ini. Oleh demikian, semua pihak diharapkan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan PH dalam usaha membasmi rasuah di semua peringkat pentadbiran,” ujarnya dalam kenyataan.

Pada Selasa , Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam secara rasmi Lateefa memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berazam akan terus melipatgandakan usaha SPRM membanteras rasuah bagi memastikan negara bebas rasuah di bawah kerajaan PH.