Henti langgan akhbar UM,BH tidak matang, kata Umno

Henti langgan akhbar UM,BH tidak matang, kata Umno

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang secara rasmi mengarahkan pemberhentian langganan akhbar kumpulan Utusan Malaysia (UM) dan Berita Harian (BH) adalah satu tindakan yang tidak matang dan kebudak-budakan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, tindakan ini sekali gus memberi gambaran buruk terhadap pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali.

“Ia membuktikan betapa kerajaan pimpinan Azmin begitu tertekan dan menghadapi masalah ‘inferiority complex’ apabila mereka seolah-olah tidak lagi punya keyakinan diri serta menaruh bimbang bahawa rakyat Selangor terutama kalangan orang Melayu dan umat Islam kini berubah arah dengan tidak lagi memberi sokongan kepada sebuah kerajaan yang ternyata dikuasai DAP serta tidak berhasrat membela kepentingan agama dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tan Sri Annuar Musa

Jelasnya, akhbar UM dan BH diketahui sebagai media arus perdana yang sejak sebelum merdeka lagi memperjuangkan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu dalam konteks negara berbilang kaum dan agama sebaliknya kini dilihat sebagai musuh kepada dasar kerajaan Selangor.

“Kita yakin tindakan ini tidak direstui rakyat Selangor dan ini akan meningkatkan lagi penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Kerajaan Selangor lupa bahawa di bawah rangkaian UM dan BH terdapat anak Selangor yang mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan namun mereka tidak pernah didiskriminasikan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau percaya bahawa tindakan yang sangat tidak wajar ini akan menyebabkan lebih cepat rakyat menolak pimpinan kerajaan Selangor yang kini kuat dikuasai DAP.

Semalam melalui notis perkeliling daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Negeri; Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat di bawah kerajaan negeri tidak dibenarkan melanggan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Ia adalah susulan notis yang pernah dikeluarkan pada 2008 lalu yang tidak dipatuhi oleh pihak berkaitan sedangkan surat arahan tersebut masih lagi berkuatkuasa hingga kini.

Surat perkelilingan yang bertarikh 9 November itu dan ditandatangani  oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya itu memaklumkan masih terdapat jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang masih melanggan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Perkara itu mendapat perhatian daripada pimpinan tertinggi kerajaan negeri yang meminta supaya langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dihentikan serta merta di setiap jabatan dan agensi.

 

2.7
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 0.0
CATEGORIES
TAGS