Malaysia Dateline

Aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia Thai membabitkan penduduk tempatan

Henti menyeludup atau hadapi tindakan tegas, kata dua polis pada penduduk

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan mahu penduduk di kawasan sempadan Kelantan-Thailand yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan segera meninggalkan aktiviti itu atau berhadapan dengan tindakan tegas.

“Elaklah daripada melakukan kerja yang bertentangan dengan undang-undang seperti penyeludupan khususnya pengedaran dadah, senjata api dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan sempadan tersebut di Rantau Panjang, semalam.

Hasanuddin berkata demikian bagi mengulas kegiatan penyeludupan yang masih berlaku di sempadan Kelantan-Thailand yang disyaki turut melibatkan kalangan penduduk di kawasan sempadan tersebut.

Beliau berkata polis dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan bagi mencegah sebarang cubaan penyeludupan.

Katanya, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran bagi memastikan keadaan di sempadan sentiasa baik selain mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.

Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha membanteras penyeludupan dadah di negeri ini, Hasanuddin berkata ia bakal dicapai tidak lama lagi.

Beliau berkata kesemua kes berkaitan tangkapan dan rampasan dadah menunjukkan peningkatan sejak Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Mengikut statistik dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, seramai 8,934 orang berjaya ditangkap melibatkan 7,598 kes pelbagai kesalahan berkaitan dadah berbanding tempoh sama pada 2016 iaitu seramai 8,737 orang ditangkap melibatkan 7,866 kes,” katanya.

Katanya, sejak awal tahun ini, seramai 570 pengedar dadah ditahan diikuti 2,951 orang ditangkap kerana memiliki dadah dan 5,413 orang didapati urin positif dadah.