Henti pinggirkan individu hadapi masalah mental, kata TPM

Henti pinggirkan individu hadapi masalah mental, kata TPM

Rakyat Malaysia perlu menghentikan sikap meminggirkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sebaliknya hendaklah membantu mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, dilaporkan kira-kira 40 peratus daripada warga Malaysia akan menghadapi masalah kesihatan mental dalam tempoh hayat mereka dan tinjauan pada 2017 oleh Kementerian Kesihatan mendapati 18,336 orang menderita tekanan perasaan di pelbagai peringkat berdasarkan imbasan kesihatan ke atas 273,203 individu.

“Pada saya ini bukan pengukur yang baik bagi negara kita,” katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Wan Azizah berkata beliau difahamkan pelbagai masalah kesihatan mental, mengikut kajian dan laporan terkini, berlaku dalam kalangan remaja dan belia di sekolah-sekolah seperti ketagihan internet, penggunaan dadah, buli, penggunaan alkohol dan merokok, perlakuan seksual dan ponteng sekolah.

Beliau berkata melihat kajian saintifik sedemikian, ia harus dijadikan tanda amaran berkaitan tahap kesihatan mental dalam kalangan remaja dan belia dan menegaskan: “Kita tidak ingin melihat golongan remaja dan belia kita tersasar dan mengalami pelbagai masalah kesihatan mental dan psikologi menjelang dewasa dan masa tua”.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS