Henti sebar hadis palsu tentang kelebihan awal bulan Islam

Henti sebar hadis palsu tentang kelebihan awal bulan Islam

Bersempena ketibaan 1 Rejab 1440 Hijrah ini, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan tentang status hadis berkenaan kelebihan tertentu awal bulan Islam.

Menurut laman web itu, hadis tentang dosa setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan haram ini adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain manakala amal soleh yang dilakukan dalam bulan sama adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan lain adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadith yang muktabar.

“Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas nama Nabi SAW. Bahkan, hadith ini juga turut digunakan pada bulan-bulan Islam yang lain seperti Zulhijjah, Sya’ban, Ramadhan, Muharram dan sebagainya.

“Kesemua hadith yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu,” dipetik daripada penjelasan menerusi segmen Irsyad Al-Hadith Siri ke-350.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan agar penyebaran hadis tersebut dihentikan dengan serta-merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.