Malaysia Dateline

Henti sebar video makian elak jadi bahan gurauan

Apabila video makian dan carut-marut jadi fenomena dan bahan gurauan. Hentikan!

Memang diakui masih ada yang degil dan tidak ikut arahan agar duduk di rumah. Tapi janganlah pula kita dengan mudah lempar makian, carut dan herdikan yang bukan-bukan.
Jaga tutur kata, usah biasakan lidah untuk maki-hamun hanya untuk dapat perhatian ramai atau kononnya membawa mesej ‘nasihat yang baik’ agar jangan keluar rumah.

Lagi buruk apabila ia dirakam dan ditular serta dipopular oleh personaliti tertentu. Bahasa yang digunakan terlalu kotor dan busuk.

Masing-masing seperti berlawan-bersaing untuk tingkatkan perhatian murahan. Maka semakin teruk dan lucah ungkapan yang dipilih.

Masing-masing mahu tunjuk siapa lebih berani dan kurang ajar. Saya tidak pasti apakah tiada undang-undang atau peraturan yang boleh menghalang fenomena buruk yang kemudiannya sama-sama dikongsi untuk tontonan umum ini, termasuk kanak-kanak.

Cukup memalukan apabila gejala meloyakan dan amat biadab ini, di kala seluruh negara berperang dengan wabak maut, boleh menjadi bahan gurauan dan sendaan. Cepat hentikan.