Henti tetap harga minyak saban minggu, naik lebih banyak dari turun

Faiz bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan petisyen kepada JPM di Putrajaya.

Gerakan Turunkan Harga Minyak (GERTAK) mendesak kerajaan menghentikan penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan serta mengembalikan subsidi bahan bakar itu daripada terus membebankan rakyat.

Dua tuntutan itu antara yang terkandung dalam Petisyen Rakyat yang diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Tiga lagi menuntut kerajaan menurunkan harga runcit minyak dengan penetapan harga siling RON95 pada RM1.90 seliter; menstabilkan harga minyak secara telus serta mendedahkan nilai Alpha sebenar.

Penyelaras GERTAK Faiz Fadzil berkata, kerajaan mampu melaksanakan kesemua tuntutan itu memandangkan Malaysia sebagai pengeluar minyak dengan RM35 bilion pendapatan negara diperoleh daripada hasil minyak.

Bahkan, jelas Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu, hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekitar RM42 bilion setahun datang dari poket rakyat.

Menurutnya, penetapan harga minyak secara mingguan tidak mengikut struktur yang telus dan berkesan dengan kekerapan kenaikan 80 peratus melebihi penurunan.

“GERTAK menyedari harga runcit RON95 harus ditetapkan pada harga sekitar RM1.90 seliter jika subsidi minyak yang hanya sekitar RM3 hingga RM4 bilion setahun tidak dipotong kerajaan.

“Nilai Alpha yang telus digunakan mengambil kira harga minyak mentah dunia yang hanya sekitar AS$50 hingga AS$60 setong,” kata Faiz lagi pada sidang media di perkarangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS