Malaysia Dateline

Henti usaha kuasai FGV atau kerajaan akan digelar pengkhianat

Ucapan penggulungan hari terakhir konvensyen hari ini menyaksikan satu desakan dari Lembaga Pengarah Peladang (LPP) terhadap kerajaan untuk menghentikan usaha pihak ketiga yang mahu mengambil alih pegangan saham majoriti dalam Felda Global Venture Holding Bhd (FGV).

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman menegaskan, Pakatan Harapan (PH) akan berhadapan risiko bakal digelar sebagai pengkhianat sekiranya usaha yang digerakkan pihak ketiga itu realitinya berlaku.

“Saya merayu pimpinan jangan sesekali beri laluan pada pihak ketiga mengambil alih FGV dan saya menyeru tanah FGV diberikan kepada Felda.

“Bagaimana air mata masyarakat Felda pada satu ketika dahulu, dan inilah perjuangan kita untuk mendapat sokongan masyarakat Felda.

“Saya tegaskan di sini, kalau ‘move’ pihak ketiga ini berjaya, kerajaan PH akan dituduh pengkhianat kepada masyarakat Felda. Kita semua akan terima akibat buruk,” katanya dalam ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Tambah Mazlan, pihaknya juga telah menulis satu surat kepada Pengerusi Felda untuk mempertahankan kepentingan milik Felda agar tidak dilepaskan sehingga memberi laluan kepada usaha pihak ketiga itu.

Terdahulu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mempunyai pelan untuk menguasai FGV dengan membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat gergasi perladangan itu.