Malaysia Dateline

Hentikan bayar gaji Menteri, kata PKR Sarawak

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Jabatan Perbendaharaan Negeri berhenti membayar gaji semua Menteri, Pembantu Menteri, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak sebaik berakhirnya tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat 6 Jun depan.

Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, gaji tidak boleh lagi dikeluarkan daripada perbendaharaan negeri untuk membayar elaun kepada wakil rakyat, yang berhak mendapat gaji dan faedah di bawah Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Imbuhan, Pencen dan Gratuities) Ordinan 2013 (Bab 68), setelah penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir nanti.

Malah, tegas beliau jawatan setiausaha politik yang dilantik oleh Ketua Menteri yang juga berhak mendapat gaji di bawah Seksyen 13 (2) (c) Ordinan yang sama turut tidak layak mendapat faedah apabila berakhirnya penggal DUN.

“Mesyuarat DUN pertama setelah Pilihan Raya Negeri ke-11 diadakan ialah pada 7 Jun 2016 dan oleh demikian penggal DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun depan.

“Apabila DUN dibubarkan oleh Ketua Menteri sebelum tarikh akhir atau terbubar dengan sendirinya pada 6 Jun, ini bermakna tidak akan ada lagi wujud jawatan Menteri Kabinet Sarawak dan anggota DUN sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang,” ujar Abun dalam satu kenyataan.

Ini kerana, katanya selepas DUN dibubarkan maka tiada ada lagi jawatan menteri atau anggota dewan sekali gus mereka tidak layak menerima sebarang gaji atau elaun .

“Namun selepas berakhir atau dibubarkan DUN, parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak sebelumnya hanya berfungsi sebagai pemerintah sementara, yang hanya menjalankan tugas normal dan tidak dapat membuat keputusan baharu.

“Namun, kerana Darurat yang dilaksanakn sekarang,iIni bermaksud bahawa hari terakhir untuk mengadakan PRN.

“Dan darurat yang dilaksanakan ialah hingga 1 Ogos yang hanya dapat dilakukan dengan perintah Yang Di-Pertuan Agong.

“Justeru, sekiranya kes positif Covid-19 di negeri ini masih tidak terkawal, kemungkinan besar PRN harus ditangguhkan selepas 6 Ogos,” kata beliau lagi.