Hentikan budaya lantik-melantik kelompok elit politik

Oleh NASUHA RAHMAN

Budaya lantik-melantik sesama kelompok elit politik harus segera dinoktahkan oleh kerajaan sedia ada.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah, Mohamed Firdaus Johari, pelantikan Dato Seri Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri (PM) amat mengecewakan.

“Dalam mendepani dan memerhati perkembangan politik yang sedang berlaku, AMK Negeri Kedah melahirkan rasa kecewa dan kesukaran untuk menerima secara objektif dan penuh rasional terhadap pelantikan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama kepada PM sepertimana yang sedang tular dikebanyakan media arus perdana tatkala ini.

“Adalah membingungkan dan menjengkelkan ketika rakyat sedang menghadapi keperitan kenaikan harga barangan khususnya rakyat bawahan dan pertengahan serta jumlah hutang negara yang terus meningkat, pelantikan dikalangan elit politik yang tidak jelas hala tujunya telah pun dilaksanakan.

“Apakah tidak cukup besar martabat dan ketinggian darjat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk melayakkan bait-bait nasihat dan pandangannya diutarakan terhadap PM sehingga terpaksa diwujudkan satu jawatan baru,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Tambah beliau lagi, isu pelantikan ini bukanlah semata-mata kerana kontroversinya Jamil Khir dengan isu penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) suatu ketika dulu, tetapi apa sahaja pelantikan baru atau keputusan kerajaan membabitkan perbelanjaan tadbir urus sekiranya berdasarkan ‘feasibility study’ tidak memberi sebarang impak yang menyeluruh terhadap pembangunan kebajikan sosio- ekonomi rakyat dan negara, maka ia wajar tidak the dilaksanakan.

Tegasnya, segala perbelanjaan kerajaan berkaitan lantikan baru atau dasar dan polisi yang tidak menepati kriteria kajian kebolehkaksanaan yang natijahnya kelak mengakibatkan pembaziran secara berterusan tetapi enggan diakui haruslah ditamatkan dengan rasa penuh keinsafan dan kebertanggungjawaban.