Malaysia Dateline

Hentikan eksploitasi agama, kaum secara sistemik

PERUTUSAN ini disampaikan sempena hari yang sangat bermakna bagi setiap warganegara yang kasihkan negara ini.

16 September, Hari Malaysia itulah hari terbentuknya sebuah Persekutuan yang lengkap dan diiktiraf dunia.

Keberlangsungan negara amat terkait dengan asas kukuh yang dibentuk oleh para pengasas dan pendiri negara kita di mana kita harus mempertahankan kejatian diri Malaysia yang kaya dengan unsur kepelbagaian.

SEBUAH NEGARA MAJMUK
Malaysia adalah negara berbilang kaum bangsa dan agama. Di atas dasar ini jualah sebuah masyarakat yang terbuka, berprinsip dan mendambakan keharmonian dijadikan elemen teras pembentukan Malaysia melalui persefahaman politik nasional pelbagai kaum dan dijelmakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, mutakhir ini elemen bernilai tersebut diancam oleh kewujudan kelompok, parti dan individu yang ‘memaksa’ naratif mereka atas kewajaran Islam dan Melayu secara destruktif.

Apatah lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) + Muafakat Nasional (MN) hari ini mengeksploitasikan sentimen ini untuk mengambil kuasa dan mengekalkan kuasanya.

Agama dan kaum secara destruktif mula terbentuk secara sistemik hari ini dan jika tidak dihentikan akan mengancam tegak berdirinya negara yang kita cintai.

KEBENCIAN TERANCANG
Sistemik ialah sesuatu yang berlaku secara terancang yang dijelmakan dalam keseluruhan sistem bukan cara terasing sehingga ia menjadi sesuatu yang normal dan tidak lagi menjadi satu kesalahan. Ia dianggap norma yang boleh diterima dalam menjalani kehidupan seharian warganya.

Fenomena kaum dan agama secara destruktif terbentuk cara struktural dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi budaya dalam retorik dan perspektif peserta dalam menafsirkan fenomena sosial/politik di sekelilingnya.

Ini termasuk memperkukuhkan lagi elemen sedia ada seperti etnosentrik, asabiyah kepuakan dan ketaksuban kaum dan agama.

ANCAMAN SEBUAH KEHARMONIAN
Agama dan kaum mudah terdedah dan rapuh kepada pembentukan secara sedar satu sistem yang komprehensif yang mewajarkan kebencian dan permusuhan atas nama kaum dan agama dalam sesuatu kelompok.

Ini amat membahayakan kewujudan elemen keamanan dan kedamaian yang menjadi syarat utama satu realiti kepelbagaian.

Kalaupun ada elemen destruktif ini, ia ditolak majoriti dan tidak mewakili kehendak umum yang mahukan keadilan sosial dan prinsip undang-undang yang saksama.

Namun, jika kebencian antara kaum diterima sebagai satu keperluan survival politik maka kita khuatir pengukuhan secara sistemik bukan lagi isu terpencil tetapi menjadi arus perdana.

Melihat kepada fenomena sosial/politik ini kita mungkin pernah membaca tentang fahaman fasis nazis, fasis kultus sesat, fasis ketuanan kulit putih dan ketuanan bangsa tertentu dan fasis keganasan agama yang telah merosakkan asas sebuah masyarakat yang aman dan mendambakan kerjasama sosial bersepadu.

Barang dijauhi Allah, kita tidak mahu Malaysia terjadi demikian dengan kefahaman ketuanan ala fasis yang mewajarkan penghinaan kepada kaum yang dilihat senantiasa inferior darinya.

Pada hari ini, kita harus memartabatkan ‘Human Matters Most’ (Manusia Paling Utama).

TOLAK KEBENCIAN
Pada hari ini 16 September wajarlah kita mengambil pengajaran dari budaya elemen destruktif yang berpotensi mencemarkan sambutan Hari Malaysia.

Memandangkan kepada haba politik yang tinggi di Malaysia, tidak dinafikan fenomena di atas sedang berkembang pesat dalam ‘memaksa’ rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa kaum dan agama secara destruktif adalah sebagai sesuatu yang normal.

Rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa kerajaan PN hari ini terbentuk atas fenomena destruktif ini. Eksploitasi agama dan kaum mempengaruhi psyche (baca saiki) sebilangan rakyat.

Mereka ditanam dalam benak pemikiran mereka alasan perkauman dan agama untuk mewajarkan kehadiran kerajaan PN.

Antara yang utama ialah retorik agama Islam dikatakan terancam dan Cina melalui DAP dikatakan menguasai negara!

Semua kita tahu ia tidak benar tetapi era ‘post-truth’ bukan tentang kebenaran fakta tetapi sejauhmana kita dapat membenarkan yang palsu melalui media sosial yang sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat hari ini.

RASIS SEBAGAI PANDEMIK
Fenomena ini diperkukuhkan oleh sokongan MN dari Umno+Pas yang sememangnya terbentuk atas eksploitasi kaum dan agama sejak akhir-akhir ini.

Segala usaha pemulihan dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab diserang dengan fitnah perkauman dan agama sehinggakan teori ‘deep state’ atau daulah terpendam bergerak atas semangat ini semasa PH memerintah selama 22 bulan.

Bukan sahaja politik pembangkang waktu itu malah agamawan, pegawai tinggi kerajaan dan para intelektual mengimani fenomena Melayu-Islam terancam.

Rakyat Malaysia berbilang kaum wajar berasa bimbang dengan kerajaan PN+MN yang kini menentukan dasar negara, pentadbiran kerajaan dan menguasai penguatkuasaan undang-undang.

Semua aparatus kerajaan ini akan dieksploitasi untuk pembudayaan, retorik dan menggunakan kuasa bagi memperkukuhkan agenda perkauman dan agama secara lebih sistemik.

Bukankah PN+MN mendapat kuasa cara eksploitasi kaum dan agama? Mengapa kita harus percaya mereka tidak akan mengeksploitasi kedua-dua elemen ini untuk terus berkuasa?

RETORIK ISLAM/MELAYU TERANCAM
‘Melayu dan Islam terancam’, ‘TH dikuasai Cina DAP’ ‘Balik ke Tongsan’ ‘Undi Pas masuk syurga’ ‘Pas Islam, Islam Pas’ ‘MP Cina kuasai Parlimen’ ‘Bahaya Agenda Liberal’, semua retorik ini membentuk psikik orang Melayu dan PN+MN memperkukuhkannya dengan kuasa yang ada pada mereka hari ini (termasuk Pas yang tegar eksploitasi agamanya).

Yang bukan Melayu sama ada rasa takut untuk menolak fenomena ini atau jika mahu bersuara akan berhadapan risiko berpotensi dilabel ‘anti Melayu’ dan ‘anti-Islam’ sekali gus boleh didakwa di bawah Akta Hasutan dan lain-lain akta yang relevan.

Jadi, kebencian secara sistemik punya dua mata pisau berkembar untuk kekal berkuasa, iaitu, menyemarakkan agama dan kaum dan pada waktu yang sama mengugut dan mengancam kaum dan agama yang lain.

Malangnya, Malaysia tidak pernah mengenali budaya baharu ini, ia umpama virus yang bakal merosakkan sistem kekebalan kita selama ini.

KUBURKAN KEBENCIAN
Inilah yang saya maksudkan dengan sistemik melalui laungan ketuanan Melayu dan Islam terancam maka lengkaplah sudah formula ‘musibah besar’ yang akan melanda negara jika tidak dihentikan.

Pengasas dan pendiri negara meletakkan asas yang kukuh demi masa depan negara yang akan terbina di atas membentuk sebuah masyarakat dan negara yang demokratik dan progresif untuk memastikan perpaduan kaum terjamin.

Adapun Islam, ia tetap terpelihara dalam bingkai Perlembagaan negara yang merupakan tonggak rujukan setiap rakyat Malaysia!

Marilah bersama sempena hari bersejarah ini kita berazam untuk menghentikan eksploitasi agama dan kaum cara sistemik demi masa depan Malaysia yang kita cintai.
Kita satukan tekad rakyat. Malaysia tanpa prejudis dan kebencian adalah HARAPAN kita bersama.

SELAMAT HARI MALAYSIA!

 

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Naib Presiden Parti AMANAH Negara dan Ahli Parlimen Parit Buntar.