Malaysia Dateline

Hentikan kempen apikan kaum

Wira Wirawati Warisan P167 Kudat hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang berunsur provokasi dan menyentuh sensitiviti apabila mengajak orang ramai tidak menyokong calon Cina yang bertanding di kawasan tersebut.

Penyelaras Pilihanraya Wira Warisan N4 Tanjung Kapor Izhamuddin Datuk Haji Hamdu, berkata kenyataan provokasi itu ditulis oleh pengguna Facebook bernama Jeff Ryan di satu page Aduan Rakyat (Kudat).

Selepas mengeluarkan kenyataan sensitif itu, pengguna terbabit lantas berkempen di dalam hantaran berkenaan untuk calon Perikatan Nasional (PN) dengan tanda pagar Norlizah Gurahman.

“Tidak wajar sentimen perkauman diapi-apikan dalam tempoh pilihanraya ini semata-mata untuk mendapatkan undi daripada rakyat di N4 Tanjung Kapor.

“Masyarakat di Sabah terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa. Keharmonian kaum yang sekian lama terjalin perlu terus dikekalkan dan tidak sewajarnya diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Justeru, kami menyeru agar tindakan provokasi perkauman sebegini dihentikan serta merta terutamanya oleh parti-parti yang bertanding dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi laporan polis yang dibuat, Jeff Ryan mengajak semua kaum untuk meruntuhkan tembok monopoli kuota Cina N4 Tanjung Kapor.

“Ini kali lah, KDMR, OAS, Ubian Suluk, Bajau, Brunei dan lain lain, kita kasi runtuh tembok monopoli kuota Cina. Biar tak menyengat tapi harus ingat #KitaJagaKita #CinaJagaCina.

“Seperti mereka amal jaga kaum mereka juga, biarlah adil dan jangan pilih kasih. Up #NorlizahGurahman untuk N4 Tanjung Kapor,” tulisnya.