Malaysia Dateline

Hentikan kenyataan menghina wanita dan kaum lain di Parlimen

Sedih bercampur geram melihat Kasturi Patto Ahli Parlimen Wanita dimalukan dan direndahkan sebegitu rupa dalam sidang Parlimen yang disiarkan secara langsung untuk tontonan umum semalam.

Kita mengecam sekeras-kerasnya sebarang kenyataan berbaur sexis dan rasis diucapkan kepada mana-mana wanita termasuk pemimpin kita.

Tidak tergambar bagaimana kata-kata berbaur sexis dan rasis, “gelap tak nampak dan pakailah bedak ” boleh dihamburkan oleh YB Abdul Azeez Abdul Rahman (PN – Baling) dalam dewan yang mulia sekaligus membayangkan sikapnya terhadap seorang wanita dan orang yang berlainan warna kulit.

Apa perasaan orang Baling yang telah memilihnya sebagai wakil mereka untuk bukan sahaja menyuarakan isu rakyat Baling tetapi juga bagi memastikan kebenaran , keadilan dan kesaksamaan ditegakkan bagi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia.

Dimana pula suara menteri dan timbalan menteri wanita yang sepatutnya membela dan mengangkat kedudukan wanita sebagai rakan kongsi yang setara dan perlu dihormati dalam membangunkan negara Malaysia yang maju dan disegani dunia.

Buat YB Abdul Azeez dan mereka yang celupar dengan kenyataan menghina dan merendahkan orang lain, kita mahu mengingatkan Tuan agar jangan jadi orang yang zalim sebagaimana amaran Allah dalam surah Al Hujurat :11 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum lelaki dan perempuan mengolok-olok yang lain, boleh jadi yang diolok-olok itu lebih baik dari mereka. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah kefasikan sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Semoga kita semua mengambil pelajaran.