Malaysia Dateline

Hentikan kerajaan gali lubang tutup lubang

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar berkata, mengekal Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno-BN bermakna mengekalkan “pemerintahan gali lubang tutup lubang” yang akhirnya menjadi beban kepada rakyat.

Negara dan rakyat amat memerlukan perubahan kuasa poltik manakala Najib Razak serta Umno-BN tiada lagi keperluan untuk negara dan rakyat.

PM baharu dan kabinet kepimpinan wajah baharu dari Pakatan Harapan (PH) perlu dibentuk untuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang, kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata Beliau, PM Najib Razak berterusan meracuni otak rakyat dengan mengamalkan politik sempit, mengugut atau menakutkan rakyat sebagai strategi untuk kekal berkuasa.

“Mungkin beliau dalam keadaan terdesak, tertekan atau takut kerajaan pimpinannya tumbang maka beliau turun dalam stigma sedemikan bagi mengajak rakyat berkongsi ketakutannnya.

“Ucapan berapi-api beliau ketika lawatannya ke Sabah menyinarkan ugutan dengan penuh emosi agar rakyat di sana jangan menukar kerajaan kerana jika silap menukar kerajaan, negeri atau negara boleh hancur.

“Nada ketakutan, kerisauan dan kebimbangan PM Najib Razak terhadap kebangkitan rakyat terserlah sehingga terbawa-bawa dalam ucapannya,” kata beliau.

Kata Mahfuz, mungkin beliau (PM) sudah merasakan tsunami perubahan sudah melanda rakyat bahawa kerajaan pimpinannya sudah tidak lagi relevan dan perlu ditukar pada pilihan raya umum ke-14.

Begitu mudah PM Najib Razak menanam sikap prejudis rakyat terhadap pembangkang khususnya PH, kata beliau.

“PM Najib Razak masih membawa pendekatan politik lapuk dan kuno di tengah masyarakat Malaysia yang celik politik dengan menjadikan budaya ‘khurafat Umno-BN’ untuk mengangkat parti pimpinan pemerintah dijulang melangit manakala parti pembangkang dihumban dengan hina ke laut adalah bukti mengekalkan fahaman khurafat seolah-olah hanya Umno-BN sahaja layak menjadi kerajaan sementara parti pembangkang lainnya tidak layak memerintah.

“Lebih mengerikan apabila tohmahan bahawa pembangkang akan menghala rakyat ke arah perpecahan dan kemusnahan manakala hanya BN sahaja yang mampu mengekalkan kesejahteraan negara.

“PM Najib Razak lupa, bahawa sebagai sebuah negara demokrasi, setiap parti politik yang sah berdaftar berhak untuk diundi oleh rakyat sama ada kerajaan mahupun pembangkang, jika mereka telah dipilih oleh majoriti rakyat pastinya parti tersebut akan menguasai kerajaan.

“Jika doktrin PM Najib Razak bahawa hanya BN sahaja layak memerintah, tidak perlu adanya demokrasi untuk diamalkan di negara ini dan lebih baik terapkan terus sistem pemerintahan diktator dimana hanya beliau dan BN sahaja ada sebagai sebuah parti dan tidak ada parti lainnya serta haramkan parti selain Umno-BN daripada bertapak di negara ini,” katanya lagi.

Apakah Najib menyangka parti selain BN tidak berfikir soal kemajuan dan pembangunan negara? soal beliau.

“PH telah diketahui merangka pelan penyelamat negara dari kehancuran yang berlaku sekarang hasil ‘tangan kotor’ politik salah guna kuasa Umno-BN, rasuah, curi khazanah negara dan membeban rakyat.

“Pemikiran sempit PM Najib Razak dengan adaian jika rakyat tukar kerajaan, negeri dan negara akan hancur sangat lucu apabila negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang diterajui oleh pembangkang terbukti masih utuh dan terus berdaya maju.

“Selangor dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

“Tidak terdengar adanya rakyat di negeri tersebut yang melarikan diri keluar negara kerana hidup sengsara, bahkan jika kerajaan negara ini bertukar, negara ini akan menjadi lebih baik dan jauh maju ke hadapan kerana dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab serta mampu mereformasi institusi,” tambahnya.

Jelas beliau, kehancuran negara bukan disebabkan oleh bertukarnya kerajaan sebaliknya mengekalkan kerajaan Umno-BN boleh menyebabkan negara terjerumus ke jurang kehancuran yang lebih buruk.

“Rakyat wajib menukar kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin yang korup, rasuah, mementingkan diri sendiri, mencuri harta negara dan rakyat, melantik suku sakat dalam pelbagai agensi penting serta bertindak menyekat pelbagai kemudahan untuk rakyat, menipu rakyat dan bertindak zalim memusnahkan negara.

“Oleh demikian PH dilihat rakyat sedang berusaha keras bagi menyelamatkan negara daripada kemusnahan dan kehancuran oleh pemimpin Umno-BN,” katanya.