Hentikan komen salah menyalah tragedi pusat tahfiz

Orang ramai khususnya pengguna media sosial diseru menghentikan komen salah menyalah kerana tindakan itu hanya menambahkan derita ibu bapa dan keluarga mangsa.

Timbalan Ketua AngkatanWanita AMANAH  (Awan) Kelantan Norashidah Jaafar berkata, semua pihak perlu memberi tempoh bertenang kepada ahli keluarga mangsa dan bukannya terus menghangatkan perbincangan khususnya membangkitkan tuduhan-tuduhan kepada pihak-pihak terbabit.

“Suasana hiba yang dialami kaum keluarga mangsa akibat tragedi ini sepatutnya diringankan dengan memberi kata-kata semangat dan mengurangkan tekanan yang dialami mereka.” katanya ketika ditemui selepas menziarahi salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi itu di rumahnya di Pasir Mas.

Mangsa, Wan Mohd Danish Hisham bin Wan Nor Hisham atau nama timangannya Adam, 14 dibawa pulang pagi semalam selepas dibenarkan keluar dari hospital Kuala Lumpur.

Wan Nor Hisham (kiri) bersama ananya Wan Mohd Danish Hisham yang mengalami cedera ringan dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Menurut Norashidah, Adam berjaya  menyelamatkan diri bersama 12 rakan lain apabila salah seorang dari mereka berjaya mengumpil jeriji salah satu jendela.

“Mereka berebut-rebut keluar dan menggelongsor melalui paip najis ke tingkat dua.

“Dari tingkat dua, mereka terjun ke atas bumbung rumah bersebelahan dan ada yang cedera termasuk patah kaki.” katanya.

Menurut cerita Adam katanya, dia cedera terkena api di tangan sebelah kanan dan hanya luka-luka kecil di bahagian hidung, telinga dan kaki.

“Keluarganya bersyukur kerana Adam selamat namun amat bersedih mengenangkan kawan-kawannya yang tidak dapat diselamatkan.

“Sehingga malam tadi, Adam tidak dapat tidur kerana terus trauma dan bermimpi kawan-kawannya datang seolah-olah tragedi itu sedang berlaku.

“Menurut ayahnya, pihak hospital terpaksa membekalkan ubat tidur supaya Adam tidak mengalami gangguan yang mungkin mendatangkan mudarat lain.” katanya.
Rombongan Awan negeri yang turut disertai oleh setiausaha dan ahli jawatankuasa turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper dan wang tunai sebagai tanda simpati kepada Adam dan keluarga.

Turut bersama ialah setiausaha Amanah negeri Haji Rushdan Mustapha serta ahli jawatankuasa Amanah negeri Kelantan.

CATEGORIES
TAGS