Malaysia Dateline

Hentikan kuarantin dua pelajar dalam satu bilik, kata Adun DAP Bukit Assek

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bukit Assek Irene Chang mahu agar dua pelajar yang dikuarantin dalam satu bilik di hotel sekembalinya mereka dari Kuala Lumpur atau di tempat lain supaya diberhentikan segera.

Katanya, beliau menerima aduan berhubung perkara itu, yang mana dua pelajar ditempatkan dalam satu bilik di hotel semasa kuarantin dilaksanakan.

“Dari segi perubatan, amalan ini tidak dapat diterima dan perlu dihentikan segera kerana pelajar berpotensi dijangkiti jika salah seorang daripada mereka pembawa virus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas kelmarin, tindakan menempatkan dua pelajar dalam satu bilik hotel berikutan kekurangan bilik.

Menurut Uggah, tindakan itu diambil selepas mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan.

Irene menjelaskan kekurangan bilik hotel tidak boleh dijadikan alasan kerajaan berbuat demikian kerana ia melibatkan kesihatan dan keselamatan pelajar.

“Kerajaan negeri harus mempunyai perancangan bagi memastikan bilik hotel mencukupi bagi menempatkan pelajar-pelajar terbabit sebelum membawa mereka pulang.

“Saya menyarankan agar JPBN menyemak semula dan menukar prosedur operasi standard (SOP) digunakan bagi menguruskan pelajar demi keselamatan dan kesihatan semua.

“Ini kerana saya tidak mahu kejadian membabitkan seorang pelajar pulang ke Sibu dari Jawa Timur, Indonesia berlaku kerana dua ujian terhadap pelajar terbabit dalam masa 14 hari dikuarantin adalah negatif sebelum keputusannya positif pada ujian ketiga selepas 14 hari kemudian,” ujar beliau.