Hentikan pencerobohan tanah adat Orang Asli, gesa Pemuda Amanah Johor

Hentikan pencerobohan tanah adat Orang Asli, gesa Pemuda Amanah Johor

Pemuda Amanah Negeri Johor menuntut penjelasan daripada Perbadanan Taman Negara Johor berhubung pemasangan pagar di sekeliling tiga perkampungan Orang Asli serta pembinaan parit sempadan sepanjang 4 kilometer di Ledang.

Naib Ketuanya,’Asim ‘Abdullah Ainullotfi berkata, projek tersebut menjejaskan lebih 700 masyarakat suku Temuan yang menghuni perkampungan Orang Asli di Air Tawas, Tanah Gembur dan Sungai Mering.  

Menurutnya, lebih mendukacitakan projek tersebut telah dilaksanakan tanpa konsultasi daripada Tok Batin ketiga-tiga kampung terbabit dan tanpa papan tanda projek dinaikkan.

“Tiada dokumen lengkap daripada Majlis Daerah Tangkak mengesahkan kebenaran kontraktor untuk melakukan kerja-kerja bahkan notis yang diberikan pun hanyalah surat pemakluman kontraktor kepada Perbadanan Taman Negara Johor yang di ‘S.K (Salinan Kepada)’ kepada Tok Batin sahaja.

“Kenapa tiada konsultasi dengan penduduk kampung Orang Asli sebelum diluluskan projek pembangunan ini? Kenapa tanah adat Orang Asli boleh terlibat tanpa pengetahuan mereka dalam projek ini? Kenapa tidak dinaikkan papan tanda yang menunjukkan projek ini benar-benar mendapat kelulusan daripada pihak perbadanan?” soalnya dalam satu kenyataan.

‘Asim menyifatkan projek tersebut sebagai pencerobohan tanah adat Orang Asli serta satu bentuk penindasan ke atas penduduk tempatan apabila laluan utama mereka ke kebun dan hutan telah dikorek, kebun-kebun telah dibersihkan bahkan tanah perkuburan warisan juga telah terjejas.

“Bagaimana mereka dapat menjalankan kerja seharian mereka kiranya mereka disekat daripada masuk ke kebun dan hutan yang sememangnya tempat mereka membesar sejak turun-menurun?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah Negeri Johor, tegasnya lagi, bersama penduduk ketiga-tiga perkampungan Orang Asli di kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang berkenaan menuntut pencerobohan dan penindasan hak mereka dihentikan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan dilapor menjalankan kajian terhadap lebih 1,000 spesies tumbuhan di Gunung Ledang pada 2015 dan hasil penemuannya akan didokumentasi serta dikomersialkan bagi tujuan perubatan dan kosmetik.

Taman Negara Johor Gunung Ledang antara salah satu daripada enam taman negara di bawah seliaan Perbadanan Taman Negara Johor selain Taman Negara Johor Endau Rompin Selai dan Taman Negara Johor Endau Rompin Peta.

Sementara itu, Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Johor Pulau Kukup diisytihar sebagai Tapak Ramsar pada 31 Januari 2003 manakala Taman Laut Sultan Iskandar merangkumi Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Pemanggil, Pulau Rawa, Pulau Aur dan Pulau Sibu.

COMMENTS

Wordpress (0)