Hentikan perbalahan dalaman PH, fokus kepada isu ekonomi, kata Patriot

Hentikan perbalahan dalaman PH, fokus kepada isu ekonomi, kata Patriot

Gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya menghentikan perbalahan dalam kalangan mereka dan memberi tumpuan kepada isu ekonomi.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Briged Jeneral, Datuk Mohamed Arshad Raji yang menyifatkan perbalahan politik dalam PH selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah sesuatu yang menjijikan.

Katanya, pemimpin sepatutnya memberikan perhatian yang lebih terutamanya berkaitan isu-isu ekonomi.

“Dalam PRK Tanjung Piai yang lalu, rakyat telah menghantar mesej jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan gabungan parti kerajaan itu.

“Seperkara lagi, isu mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri, ianya harus ditinggalkan/diserahkan kepada Majlis Presiden PH dan semua politik serta perdagangan kuda (horse-trading) untuk menyokong antara kumpulan saingan juga mestilah dihentikan.

“Banyak lagi isu-isu negara. perlu diberikan perhatian. Negara kita ‘tidak ada ruang’ untuk ahli-ahli politik yang tidak menyediakan kepimpinan yang baik menerusi portfolio masing-masing, yang tidak proaktif tetapi bertindak balas selepas masalah timbul dan hanya bagus bermain politik.

“Jika ahli-ahli politik ini mempunyai hati nurani, mereka sepatutnya berasa malu apabila pengundi di Tanjung Piai sudah mula bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Arshad berkata, semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan etnik mesti merasa mereka diberi kuasa untuk menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan juga membina negara.

“Kemajuan ekonomi kita telah dibelenggu dengan penurunan standard pendidikan, kekurangan inovasi dan kemahiran, serta pertumbuhan produktiviti yang tidak stabil.

“Anggota kabinet mesti memimpin untuk memperkasakan masyarakat kita dengan meningkatkan standard pendidikan, menyediakan untuk mereka Revolusi Perindustrian 4.0 dengan fokus pada ‘Internet-of-Things’ dan ‘Artificial Intelligence’ ,” ujarnya lagi.