Malaysia Dateline

Hentikan permainan politik tidak berkesudahan, jangan pertaruh nasib rakyat

ULASAN: Saya terbaca kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Putera, Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan politik Malaysia semakin berserabut dan rakyat semakin pening dengan situasai politik terkini.

Saya berpandangan sebahagian kenyataan ini ada kebenarannya. Melihat kepada pelbagai peristiwa yang berlaku melibatkan ahli politik kita yang tidak berkesudahan bermain politik sehingga nasib rakyat menjadi taruhan.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Sabri telah membuat kenyataan dangkal yang meminta dibubarkan parlimen kerana dakwanya rakyat telah menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH). Adakah beliau bermimpi di siang hari dengan membuat kesimpulan sekadar hasil keputusan pilihan raya kecil Tanjung Piai yang lepas dengan menyatakan rakyat secara total telah menolak PH? Mungkin beliau terlepas pandang calon PH Tuan Haji Karmaine masih mendapat sokongan dengan undi 10,380 dan bagaimana boleh dikatakan PH telah ditolak secara total.

Selain itu, timbul pula desas desus ada perancangan-perancangan dalam gelap yang disusun atur oleh beberapa ahli politik untuk mengambil alih kerajaan secara tidak demokratik di peringkat persekutuan dan beberapa negeri. Jika hal ini satu kebenaran, maka sudah pasti tindakan ini merupakan satu tindakan yang sangat tidak bermaruah.

Di kala ahli-ahli politik ini sibuk mengatur itu dan ini, rakyat di bawah masih merasai keperitan peningkatan kos sara hidup semasa dan masalah-masalah sosial lain yang masih banyak tidak diselesaikan. Adakah pembangkang tidak melihat jika dibubarkan parlimen dan diadakan pilihan raya semula, berapa banyak kos kewangan yang perlu negara keluarkan sedangkan kos yang besar itu kalau dipulangkan kepada rakyat sudah pasti pelbagai program dan manfaat dapat dinikmati oleh rakyat.

Sekarang adalah masa untuk membina semula negara ini daripada pelbagai sudut selepas menghadapi kebobrokan yang sangat lama oleh kerajaan terdahulu. Seharusnya setiap pihak terutama di pihak barisan kepimpinan atasan PH perlu sedar bahawa rakyat kebanyakkan masih menanggung harapan yang tinggi kepada kepimpinan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik kepada mereka dalam meneruskan kehidupan seharian.

Apabila permainan-permainan politik ini masih tidak berkesudahan, sampai bila nasib rakyat ini hendak dipertaruhkan. Rakyat masih menanti harapan dengan kerajaan sama ada pihak PH mahupun Barisan Nasional dan Pas di beberapa negeri.

Saya menasihatkan kepada diri saya dan sahabat-sahabat ahli politik yang lain tak kira sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, kembalilah sedar akan tanggungjawab kita yang telah diberi amanah dan tanggungjawab oleh rakyat. Utamakan agenda kebajikan rakyat berbanding agenda peribadi.

* Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka.