Hentikan polemik, Pas wajar hormati rakyat Kedah

Hentikan polemik, Pas wajar hormati rakyat Kedah

Kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membayangkan pilihan raya negeri akan berlaku di Kedah menyerlahkan sikap sebenar Pas yang tidak memahami mesej dan kehendak rakyat.

Pengerusi AMANAH Kedah Datuk Dr Ismail Salleh, berkata, bayangan sebegitu menampakkan sifat Pas sebenar mereka iaitu gila kuasa untuk memerintah Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan di negeri itu, malangnya telah di tolak oleh Pakatan Harapan Kedah.

Pilihan raya umum yang lalu telah memberikan kemenangan 18 kerusi Pakatan Harapan, 15 Pas dan tiga BN.

“Kalau Pas benar-benar ikhlas, buatlah kerajaan perpaduan itu di Kelantan dan Terengganu terlebih dahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, setelah cadangan mereka di tolak Pas masih tidak berputus asa apabila menzahirkan sifat tamak dengan meminta pula jawatan Speaker Dun.

“Dan sudah tentu oleh kerana tidak logik dan tiada asas langsung untuk mereka berbuat demikian, sekali lagi Pakatan Harapan menolak cadangan ini.

“Mereka juga telah menamakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Fakhrudin Fakhrurazi sebagai bakal speaker,” tambahnya.

Ekoran dari itulah, katanya, mereka dengan nada ugutan akan berlakunya pilihan raya negeri apabila pemilihan speaker nanti akan berakhir dengan undian 18/18.

“PH sudah tentu ada 18 undi dan Pas ada 15 undi. Mereka mengharapkan 3 undi dari Umno untuk mencukupkan 18 undi.

“Di kala Umno berada dalam keadaan nazak dengan 3 kerusi Dun dan kerajaan pusat adalah kerajaan Pakatan Harapan kemungkinan Umno menyokong Pas adalah terlalu kecil. Lalu peluang undian 18/18 hampir mustahil.

Justeru, beliau memohon agar Pas menghentikan polemik ini dan menghormati kehendak rakyat yang telah membuat keputusan dan sekarang adalah masa untuk bekerja.

“Ayuh kita mengisi harapan rakyat dengan membuat persembahan terbaik dari segi dasar dan gerak kerja.

“Simpanlah keegoan dan sifat tamak yang ada itu sehingga lima tahun yang akan datang untuk sekali lagi rakyat akan memilih dan membuat keputusan,”tegas beliau.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata Pas bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri Kedah sekiranya isu perlantikan Speaker Dun gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Bagi Pas jalan penyelesaian dilihat sukar memandangkan Kerajaaan Pakatan Harapan Kedah menolak cadangan pihaknya untuk menyelesaikan krisis sekali gus memungkinkan pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

“Sebenarnya Pas sudah tunjuk jalan keluar melalui kerajaan campuran yang melibatkan semua parti, tujuan adalah untuk mengelak pilihan raya negeri. Ia adalah jalan terbaik dalam menangani situasi ini, tetapi mereka tolak.

“Kita tiada masalah dengan penolakan itu kerana ia hanya cadangan, oleh itu kita bersedia untuk sebarang kemungkinan dan jentera kita bersedia,” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)