Hentikan politik dendam, majukan negeri bersama-sama

 

Datuk Mahfuz OmarParti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Kerajaan Negeri Kelantan agar bersikap terbuka di dalam berpolitik demi kemakmuran dan kemajuan rakyat negeri itu.

Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ekoran tindakan ‘pihak atasan’ kerajaan negeri Kelantan yang menghalang Naib Presiden Amanah Husam Musa dan Pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri.

Jelas Mahfuz, tindakan menghalang mereka menunjukkan kerajaan Kelantan seolah-olah memulakan permusuhan dengan kerajaan pusat dan menolak sistem demokrasi kerana mereka adalah tokoh pembangkang di negeri itu daripada parti yang memerintah negara.

“Sebagai rakyat yang sayangkan negerinya, mereka bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) dengan kritikan agar kerajaan negeri berjalan di atas landasannya. Kritikan mereka membina agar rakyat terbela dengan kerajaan menjauhi amalan rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiadateline.

Kerajaan Kelantan juga, katanya dinasihatkan agar tidak mengulangi kesilapan dan keangkuhan pentadbiran Umno-BN di bawah rejim Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sikap tidak mahu mendengar pandangan dan nasihat, serta mengambil tindakan keras terhadap musuh politik termasuk tekanan, sekatan, halangan daripada bersuara dan lain-lain adalam sinonim dengan gaya Umno-BN di era pemerintahannya.

“Mana-mana musuh politik yang kuat mengkritik, dan mendedahkan skandal penyelewengan cepat mereka ambil tindakan melalui kuasa yang ada. Akhirnya rakyat sendiri yang menghukum mereka melalui PRU ke 14,” ujarnya.

Menurut beliau, sebelum ini Nik Omar Nik Abdul Aziz di halang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid di kampungnya sendiri oleh pemimpin Pas walaupun berlindung atas nama masalah dalaman keluarga.

“Selepas ini siapa pula yang mengikuti jejak mereka, diharamkan daripada menjejakkan kaki di mana-mana premis tertentu di tanah tumpah mereka sendiri.

“Tidak ada gunanya politik dendam dan kebencian disemai dalam diri meskipun mereka berlainan parti politik dan pandangan. Sekarang masanya kita bekerja dengan mengajak seluruh lapisan rakyat bersama-sama tidak kira pegangan politik demi kebaikan negeri dan negara tercinta,”tegasnya.

Tambah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, kedua-kedua tokoh ini tidak wajar dihalang untuk memasuki mana-mana premis kerajaan atas apa juga urusan kerana premis kerajaan seperti wisma Darulnaim adalah tempat rakyat berurusan dengan kerajaan.

“Jika arahan itu datang dari pentadbiran kerajaan Kelantan, adalah malang jika sikap sebuah kerajaan negeri yang mahu menegakkan syariah Islam tetapi mengambil pendekatan yang sangat berbeza terhadap kedua pemimpin ini. Hanya kerana kelantangan mereka, mereka dinafikan hak untuk bersuara dan masuk ke pejabat kerajaan seumpama pesalah besar,”katanya.

Justeru, katanya, Menteri Besar Kelantan sebagai ketua kerajaan boleh menasihati Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kelantan agar bersikap terbuka terhadap kedua-dua tokoh ini kerana mereka bukan ancaman terhadap kerajaan negeri.

“Sebagai sebuah negeri di dalam sebuah negara demokrasi, hak dan kebebasan rakyat mesti dipertahankan selagi tidak melanggar peraturan atau perlembagaan negara,” tambahnya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan beliau berkata arahan untuk menghalang pimpinan Amanah Negeri Kelantan daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri datang dari pihak istana, sebaliknya beliau menjelaskan arahan itu diterima daripada ‘pihak atasan’.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)