Malaysia Dateline

Hentikan politik di masjid, junjung titah Sultan Selangor

Pemuda AMANAH Kuala Langat memandang serius penganjuran program di Masjid Darul Tahsis, Kampung Melayu Pulau Carey yang secara terang-terangan dianjurkan sayap parti politik.

Ketuanya, Wan Afiq Danish berkata, penganjuran itu secara jelas bertentangan dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang melarang program-program politik dijalankan di masjid-masjid di seluruh negeri.

“Pemuda AMANAH Kuala Langat mendukung titah Baginda DYMM Sultan Selangor dan berharap agar masjid-masjid tidak dijadikan tempat berpolitik oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerap bertitah melarang umat Islam di negeri itu menjadikan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik bagi mengelak pepecahan ummah.

Kelmarin, gambar berkaitan program ibadah korban di Pulau Carey dengan kehadiran ahli Pas berpakaian Jabatan Amal Malaysia dan kelab Alternative Riding Club (ARC) tersebar di media sosial.

Program itu usahasama Jabatan Amal Selangor dan Lajnah Kebajikan Pemuda Pas Selangor bersama Pemuda Pas Kuala Langat dan juga Pejabat ADUN Sijangkang.