Malaysia Dateline

Hentikan politik zaman kuno di saat negara hadapi COVID-19

Umum sedia maklum bahawa ramai rakyat Terengganu adalah daripada golongan petani, nelayan dan peniaga kecil yang bekerja sendiri dan menghadapi masalah kewangan teruk.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, malangnya sehingga kini, hanya penyokong kerajaan dari parti tertentu sahaja yang menerima bantuan kerajaan negeri, sementara rakyat lain tidak menerima sebarang bantuan.

Berikutan masalah yang timbul itu, beliau berharap sikap dan polisi tersebut dikaji semula supaya melibatkan semua lapisan rakyat.

“Sekarang ini merupakan waktu krisis yang boleh menuju ke situasi darurat melibat kelangsungan hidup rakyat.

“Semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu, buat pertama kalinya, wang royalti hasil minyak dan gas telah di bayar secara terus kepada kerajaan negeri Terengganu bersama dengan peruntukan Persekutuan yang lain.

“Ini tidak mengikut amalan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Kerajaan PH telah mengembalikan hak wang royalti dengan harapan ia akan boleh memanfaatkan semua rakyat Terengganu,” bidasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu menambah, ketika di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan satu ketika dahulu, pihaknya telah menerima lawatan dan menunaikan permintaan ahli exco serta ahli Parlimen dari Terengganu untuk pembangunan di beberapa daerah di seluruh negeri itu.

“Dengan amalan sikap keterbukaan politik matang ini, diharapkan kerajaan Terengganu akan menunjukkan sikap yang sama kepada semua rakyat di negeri ini tanpa mengira perbezaan fahaman politik di peringkat negeri, namun malangnya ia tidak berlaku.

“Amat mendukacitakan juga sikap Kerajaan Pusat Perikatan Nasional (PN) hari ini yang tidak menjemput negeri di bawah kerajaan PH untuk mesyuarat Covid-19 serta menahan segala peruntukkan Ahli Parlimen dari PH.

“Diharapkan Kerajaan Terengganu akan mengamalkan sikap yang lebih positif ke atas rakyat Terengganu yang kebanyakannya daripada golongan yang miskin dan susah,” katanya sambil menambah politik zaman kuno yang hitam tidak harus dikembalikan di saat negara menghadapi krisis wabak Covid-19.

Sementara itu, Raja Kamarul memaklumkan, baru-baru ini beliau telah menggesa kerajaan- kerajaan negeri khususnya Terengganu, mencontohi kerajaan Sarawak yang memperuntukkan RM1.4 billion untuk rakyat negeri mengatasi masalah ekonomi rakyat semasa krisis Covid-19 ini.

“Alhamdulillah, Terengganu diberitakan telah memperuntukkan RM300,000 setiap Dun atau RM9.6 juta untuk seluruh negeri.

“Saya berharap kesemua rakyat Terengganu tanpa mengira fahaman politik akan diagihkan bantuan tersebut untuk membolehkan mereka mengisi perut keluarga,” ujarnya lagi.