Malaysia Dateline

Hentikan sandiwara politik murahan, bidas AMK kepada Afif

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin supaya berhenti dengan sandiwara politik murahan beliau.

Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol mendakwa, dalam kenyataan media Adun Seberang Jaya hari ini, beliau telah memanipulasi kenyataan tersebut.

“Memanipulasi dengan menyatakan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah menyingkirkannya dari blok kerajaan Pakatan Harapan dan mengisytiharkannya sebagai Adun Pembangkang.

“Sebagai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU 2013 & 2018) atas tiket politik Keadilan dan berpengalaman lebih dari satu pengggal, Afif Bahardin seharusnya tidak menyebelahi dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan ini bukan sahaja tidak demokratik, malah mengkhianati amanat parti.

“Namun pengkhianatan bagi Afif Bahardin hanya rutin sandiwara politik beliau. Kenyataan medianya hari ini merupakan helah kesekian kali beliau untuk mengalih perhatian para penyokong dan simpatisannya dengan mengelirukan mereka,” dakwa beliau menerusi satu kenyataan.

Menurut Fahmi lagi, sudah tentu Afif Bahardin mengetahui bahawa majoriti pengundi membuat pilihan atas dasar parti bukan individu sehinggakan beliau dapat menang dan mengekalkan Dun Seberang Jaya dengan menggunakan logo Keadilan.

Katanya, Dun Seberang Jaya juga merupakan Dun di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Keadilan bermula dari Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Afif Bahardin paling tidak layak untuk menggunakan perkataan ‘istiqamah’ dan ‘memenuhi amanah’.

“Jika beliau ‘istiqamah’ dalam berkhidmat, beliau sepatutnya bersama-sama menjunjung Keadilan sebagai institusi kepartian yang beliau sertai walaupun dalam keadaan yang sukar.

“Namun beliau lebih suka untuk berada dalam ‘kluster kayangan’ yang merosakkan parti dan membelakangkan dasar kerajaan negeri,” ujarnya lagi.