Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin wajib mengambil tindakan segera bagi mengikis atau menghapuskan budaya perlindungan dalam amalan pelantikan, kenaikan pangkat dan pemindaha para pegawai kana polis.
Budaya perlindungan politik meremehkan pengendalian dan pengawalan pasukan polis oleh Ketua Polis Negara (KPN). Ia juga, secara tidak langsung, menjejaskan disiplin, kesatuan dan keharmonian pasukan beruniform tersebut.
Artikel 140 (3) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan sebarang kuasa ke atas Menteri Dalam Negeri bagi urusan pelantikan mana- mana pegawai polis. Artikel tersebut hanya sekadar memperuntukkan bahawa sesiapa yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri akan bertindak sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Selanjutnya, Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa bidangkuasa SPP ke atas para anggota polis adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
Ini bermakna bidangkuasa itu adalah tertakluk kepada kuasa KPN yang bertanggungjawab dalam pengendalian dan pengawalan ke atas pasukan polis yang dinyatakan di bawah seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 (Disemak 1988) (Akta 344).
Pendedahan oleh KPN yang baharu bersara iaitu Tan Sri Hamid Bador berkenaan isu campurtangan Menteri Dalam Negeri dalam urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pemindahan para pegawai polis berpangkat kanan telah pun disahkan melalui pengakuan nyata daripada Menteri Dalam Negeri sendiri iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa beliaulah insan di dalam rakaman audio yang membincangkan isu pelantikan tersebut.
Mengambil kira pengakuan jelas dari menteri tersebut, langkah pertama yang harus diambil bagi menghapuskan budaya perlindungan tersebut adalah dengan memecat beliau sebagai Menteri Dalam Negeri.
Urusan pelantikan dan kenaikan pangkat sewajarnya berlandaskan kriteria kriteria berikut iaitu soal integriti, kelayakan atau keupayaan dan merit seseorang calon tersebut. Skil, pengalaman, kekuatan karakter dan berjiwa bebas hendaklah dijadikan sebagai faktor utama atau dominan bagi urusan tersebut.
Sudah tentu ianya bukan berdasarkan faktor dari negeri manakah seseorang calon itu berasal atau dilahirkan, siapakah rakan-rakan atau teman-teman beliau atau adakah beliau itu adalah “budak” seseorang.
Sebaliknya, kriteria yang maha penting adalah calon tersebut seharusnya memiliki kualiti yang perlu bagi mengenepikan atau menolak apa sahaja bentuk desakan dari para ahli politik yang meminta beliau melakukan ” tugas” tertentu bagi pihak mereka atau meminta beliau menutup sebelah mata ke atas tindakan-tindakan tertentu.
Ketaatan calon tersebut mestilah hanya kepada Raja dan Negara.
Pasukan polis amat perlu untuk memenangi semula dan seterusnya meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada pasukan polis. Justeru itu, isu pelantikan tersebut sewajarnya difokuskan ke arah mencapai objektif tersebut.
Imej dan reputasi pasukan polis telah pun dicemari atau dirosakkan melalui laporan mengenai dakwaan raja dadah dan organisasi jenayah dikatakan telah dilindungi oleh sebahagian anggota polis berpangkat kanan.
Sekiraya budaya perlindungan politik tersebut tidak dihakiskan atau dihapuskan, maka para raja dadah atau ketua-ketua organisasi penjenayah akan mudah terlepas dari tindakan atau cengkaman undang-undang dan kesannya orang ramai tidak akan terselamat atau dilindungi dari elemen-elemen jenayah.
Budaya perlindungan politik dalam pasukan polis hanya akan membiakkan lagi korupsi atau rasuah dan penyalahgunaan faktor pengaruh. Sekiranya budaya politik tersebut dibiarkan berkembang subur, negara akan berakhir hingga ke tahap boleh dijual. Daripada ahli politik yang boleh dijual kepada para pegawai polis yang juga boleh dijual.
Jika negara berakhir hingga ke tahap tersebut, imej dan reputasi pasukan polis sudah tentu akan musnah semusnah-musnahnya dan kedaulatan undang-undang negara kita yang tercinta ini pula juga turut hancur bersama sama.
Oleh itu , ini bukanlah waktunya untuk berdiam diri. Perdana Menteri mesti menyatakan pendiriannya – dengan kuat dan nyaring!
——————-
Penulis adalah Ahli Parlimen Selayang.